Prof Madya Elmie Nekmat, Dr Hamid Razak gesa PAP dakap kepelbagaian, perteguh sikap inklusif
(Dari kiri) Profesor Madya Elmie Nekmat, Cik Chua Wei-Shan dan Dr Hamid Razak berucap di Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Ahad (5 Nov). (Gambar: TODAY/Lim Li Ting)
Menekankan keprihatinan itu ialah konsultan pakar bedah ortopedik Hamid Razak, usahawan Chua Wei-Shan dan pensyarah universiti Elmie Nekmat.
Muka-muka baharu yang berucap pada Konvensyen PAP yang lalu lazimnya akan menjadi calon Pilihan Raya Umum untuk parti itu.
Contohnya pada 2019, daripada empat muka muda yang berucap di konvensyen itu — Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Cik Rachel Ong, Encik Alex Yeo dan Encik Kawal Pal Singh — tiga bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2020.
Profesor Madya Elmie daripada Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Universiti Nasional Singapura (NUS)adalah antara senarai muka baharu yang diperkenalkan di GRC Sengkang pada awal tahun lalu.
Beliau kini merupakan pengerusi cawangan PAP bagi Sengkang Central.
Cik Chua, yang profil LinkedInnya menyatakan bahawa beliau adalah pengarah eksekutif syarikat reka bentuk produk, pengilangan dan penyumberan BX Creatives, ialah setiausaha penganjur PAP Muda dan aanggota divisyen West Coast.
Dr Hamid, pakar bedah ortopedik di SingHealth, ialah penolong setiausaha cawangan Jurong Spring PAP. Beliau dilantik sebagai penasihat akar umbi kedua bagi Jurong Spring, di bawah Ogos lalu.
MENGHARGAI KEPELBAGAIAN, MEMBINA INKLUSIVITI: DR HAMID
Dr Hamid, 38 tahun, yang merupakan orang pertama daripada tiga muka baharu yang berucap kepada lebih 1,000 anggota PAP pada pagi Ahad di Singapore Expo, berkata walaupun parti itu telah membuktikan ia stabil dan progresif, ia mesti sentiasa mencipta semula dan melabur dalam parti itu demi masa depannya.
Untuk mencapai matlamat itu, beliau mencadangkan tiga perkara yang beliau merumuskan sebagai "ABC": Menghargai kepelbagaian, membina keterangkuman, dan membuat keputusan secara kolaboratif.
Menurut beliau, kepelbagaian Singapura adalah sesuatu yang boleh dibanggakan dan amat dihargai.
“Lihatlah sekeliling kita hari ini; kita boleh lihat aktivis parti dari pelbagai latar belakang, pengalaman dan juga perspektif. Kepelbagaian ini menjangkaui kepelbagaian pengalaman yang dibawa oleh setiap daripada kita kepada parti,” kata bapa kepada tiga orang anak itu yang menganggotai parti tersebut sejak 2017.
"Mengiktiraf dan menilai perspektif berbeza ini boleh membawa kepada penggubalan dan dasar yang lebih komprehensif."
Beliau berkata, menghargai kepelbagaian akan melahirkan semangat kekitaan dan keterangkuman, kerana setiap anggota parti kemudiannya akan percaya bahawa suara mereka penting.
Sungguhpun demikian, ketidakstabilan geopolitik boleh menjadi polarisasi dan berpotensi menggugat perpaduan dalam masyarakat, menjadikannya penting bagi para aktivis parti untuk membina jambatan dan memupuk persekitaran yang selamat untuk mengadakan perbincangan.
"Perbincangan ini mungkin sukar tetapi ia penting kerana mengadakan perbincangan yang sukar ini akan membolehkan kita menjadi parti yang lebih inklusif dan masyarakat secara amnya," tambahnya.
Apabila kedua-dua nilai ini diterapkan, ia akan meletakkan asas untuk membuat keputusan secara kolaboratif, kata Dr Hamid.
Beliau menekankan Alliances for Action (Perikatan untuk Bertindak Singapura Bersama) — gabungan diterajui industri yang bekerjasama dengan pemerintah untuk mencari huraian kepada pelbagai cabaran — serta “hubungan simbiotik” antara PAP dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai contoh adalah usaha kerjasama yang berjaya.
MERAPATKAN JURANG ANTARA GENERASI: PROF MADYA ELMIE
Prof Madya Elmie, 42 tahun, menekankan keperluan untuk merapatkan jurang antara generasi, terutamanya antara warga emas dan golongan belia.
Beliau menyarankan empati, penghargaan dan sokongan kepada warga tua agar mereka tidak ketinggalan apabila dunia semakin mendakapi pendigitalan.
Beliau turut memberi contoh bagaimana beliau dan adik-beradiknya perlu berulang kali mengajar ibu mereka, seorang pengusaha kantin sekolah rendah berusia 67 tahun, cara-cara menggunakan telefon bijak dan aplikasi penting.
Ibunya kini dapat melakukan aktiviti seperti membeli-belah online dan menggunakan aplikasi secara berdikari, katanya.
“Intinya ialah — bukan mudah untuk belajar dan menggunakan teknologi dengan selamat dan berkesan. Sesetengah daripada kita, seperti warga emas, mungkin mengalami lebih kesukaran berbanding golongan lain,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.