Prof Aziz Amirali Merchant & isteri sumbang lebih setengah juta untuk bantu lebih 1,000 pelajar Melayu/Islam
SINGAPURA: Seramai 86 pelajar sekolah rendah menerima dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) - Merchant bagi Sekolah Rendah tahun ini.
Setiap pelajar menerima $500 bagi membantu biaya sekolah dan yuran program pengayaan mereka.
Menerusi satu kerjasama dengan Yayasan MENDAKI, dermasiswa ETF itu ditubuhkan pada 2007 oleh Naib Presiden Eksekutif Seatrium Limited, Profesor Aziz Amirali Merchant dan isterinya, Dr Reshma Aziz Merchant - seorang profesor madya di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).

Sejauh ini, 1,163 dermasiswa bernilai S$581,500 sudah diagihkan kepada para pelajar yang menunjukkan prestasi baik di sekolah rendah.
"Saya dan Dr Reshma sangat berbesar hati bekerjasama dengan Yayasan MENDAKI untuk menyokong pendidikan kanak-kanak. Dermasiswa ini adalah satu pelaburan untuk masa depan masyarakat kita dan kami beri dorongan kepada para karyawan dan perniagaan untuk tampil ke hadapan bagi masa depan yang lebih cerah untuk kita semua," kongsi Profesor Aziz dalam satu kenyataan media.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Zuraidah Abdullah pula mengatakan, "Sejak 2007, Profesor Aziz and Dr Reshma Merchant sudah menyokong lebih daripada 1,000 kanak-kanak dalam pendidikan menerusi Dermasiswa ETF - Merchant bagi Sekolah Rendah. Saya yakin kanak-kanak kita akan terus memberi yang terbaik di sekolah dan mencari kebahagiaan dalam pembelajaran."
BANTU PELAJAR DENGAN PERBELANJAAN SEKOLAH

Dalam satu majlis yang diadakan di SAFRA Toa Payoh pada Ahad (8 Sep), Cik Zuraidah menyampaikan dermasiswa itu kepada lebih 80 pelajar dan meraikan mereka.
Salah seorang penerimanya ialah Muhammad Rayhan Mohamad Ridwan, 9 tahun.
Pelajar Sekolah Rendah Greenridge bercita-cita untuk menjadi penjaga taman haiwan kerana suka dan minat dalam bidang berkaitan haiwan.

Dermasiswa itu diharapkan dapat membantu Rayhan dengan perbelanjaan sekolahnya dan yuran kelas pengayaan.
Ibunya, Cik Hazlin berkata, "Sebagai ibu bapa, saya akan cuba sokong pembangunan menyeluruh Rayhan - kegiatan kokurikular dan madrasah."
ETF merupakan dana yang disumbang masyarakat bagi menyokong keperluan pendidikan anak-anak Melayu/Islam untuk memastikan setiap daripada mereka mempunyai sumber-sumber yang diperlukan bagi mencapai kejayaan di sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.