Skip to main content

Singapura

Produk REX Grilled Clam ditarik balik dek kandungan kadmium berlebihan

Anggaran Waktu Membaca:
Produk REX Grilled Clam ditarik balik dek kandungan kadmium berlebihan

(Gambar: SFA)

Diterbitkan : 23 Feb 2023 09:40PM

SINGAPURA: Sekumpulan tin kerang yang diimport dari Malaysia ditarik balik disebabkan kandungan berlebihan sejenis logam berat, kadmium. 

Tarikh luput produk terjejas - REX Grilled Clam - adalah pada 4 Julai 2024, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (23 Feb). 

Produk itu didapati mempunyai kandungan kadmium yang melebihi had maksimum yang ditetapkan, menurut SFA, sambil menambah ia sudahpun memberitahu pengimport Lee Yee Oils & Foodstuffs (Singapore) untuk menarik balik produk terbabit. 

Penarikan balik sedang dijalankan. 

"Logam berat seperti merkuri, plumbum, arsenik dan kadmium secara semula jadi berada dalam sekitaran dan boleh berada dalam makanan kita apabila haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang dimakan bersentuhan dengan air, tanah dan dasar laut," menurut SFA. 

"Kerang khususnya membesar di dasar lautan dan boleh mengumpul logam berat yang tenggelam." 

Berdasarkan paras yang dikesan, agensi tersebut menambah, pemakanan sekali saja produk yang terjejas tidak berkemungkinan menimbulkan keprihatinan keselamatan makanan. 

Namun, pengambilan jangka panjang jumlah kadmium yang tinggi boleh menyebabkan penyakit buah pinggang, kekurangan mineral pada tulang dan risiko barah yang lebih tinggi dalam paru-paru, rahim, pundi kencing dan payudara. 

Mereka yang makan produk terjejas dan bimbang tentang kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan. Mereka juga boleh menghubungi tempat mereka membeli produk tersebut bagi pertanyaan lebih lanjut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita