Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Produk rangsang syahwat, senjata dirampas dalam serbuan polis merata SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 466 individu disiasat atas pelbagai kesalahan menyusuli serbuan-serbuan yang dilancarkan di merata Singapura, menurut polis pada Jumaat (13 Jan). 

Produk-produk bagi membangkitkan nafsu syahwat dan senjata dirampas dalam serbuan-serbuan yang dilancarkan antara 28 Disember 2022 hingga 10 Januari 2023. 

"Dengan sambutan akhir tahun dan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, polis akan terus mempertingkatkan usaha penguatkuasaan di seluruh Singapura," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF). 

Lebih 640 pegawai dikerahkan dengan lebih 80 operasi dijalankan, menurut SPF. Para pegawai menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 1,500 individu dan memberkas 152 orang. 

Satu operasi penguatkuasaan bersama pada 10 Januari yang melibatkan para pegawai daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyasarkan aktiviti-aktiviti di Geylang yang melanggar undang-undang. 

Tiga lelaki dan empat wanita berusia antara 34 hingga 73 tahun disiasat atas kesalahan melibatkan perjudian. Wang tunai dan pelbagai perkakas perjudian, seperti meja dan cip perjudian bernilai lebih S$48,000 dirampas sewaktu operasi itu. 

Dua lelaki, berusia antara 31 hingga 41 tahun turut disiasat oleh HSA. Produk-produk kesihatan tidak berdaftar yang merangkumi pelbagai ubat perangsang syahwat dianggarkan bernilai S$3,317 turut disita. 

Satu lagi serbuan dijalankan di Woodlands pada 4 Januari. Seorang wanita berusia 41 tahun dan lima lelaki berusia antara 58 hingga 74 tahun disiasat atas kesalahan membabitkan perjudian. 

Wang tunai melebihi S$1,200 dan lima telefon bimbit yang mengandungi bukti perjudian dan alat pertaruhan, dirampas sewaktu operasi berkenaan dilancarkan. 

Pada 31 Disember, para pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) menerajui beberapa serbuan terhadap kumpulan-kumpulan kongsi gelap di Sentosa, Clarke Quay, Orchard Road dan beberapa pusat hiburan awam serta pusat-pusat hiburan malam. 

Seramai 107 orang diperiksa dan enam lelaki, berusia antara 20 hingga 33 tahun, diberkas kerana disyaki menganggotai kumpulan kongsi gelap. 

Dua lelaki berusia 24 tahun diberkas kerana memiliki senjata di tempat awam. Pisau belati, pisau dan penumbuk besi buku lima yang digunakan turut dirampas sebagai bukti kes, menurut polis. 

SPF menambah, siasatan terhadap 466 orang yang berusia antara 15 hingga 80 tahun, masih diteruskan. 

Penolong Pesuruhjaya (AC) Gregory Tan, pemangku pengarah jabatan operasi polis, berkata pihak polis sudah mempertingkatkan operasi penguatkuasaan sepanjang dua bulan yang lalu. 

"Sambil kita kembali melakukan aktiviti-aktiviti harian kita selepas langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 dilonggarkan, pihak polis akan meneruskan usaha membanteras jenayah dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang melanggar undang-undang," tegas AC Tan. 

"Orang ramai diingatkan supaya jangan leka berhubung langkah terhadap langkah-langkah pencegahan jenayah dan melaporkan sesiapa saja yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan jenayah kepada pihak polis." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan