Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Produk-produk baru bagi masalah kulit mungkin diperkenalkan seawal tahun depan

Terdapat berita baik bagi mereka yang sering menghadapi masalah kulit seperti ekzema, jerawat dan pigmentasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Produk-produk baru bagi masalah kulit mungkin diperkenalkan seawal tahun depan
Diterbitkan : 21 Mar 2019 09:30PM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 10:06PM

SINGAPURA: Terdapat berita baik bagi mereka yang sering menghadapi masalah kulit seperti ekzema, jerawat dan pigmentasi.

Produk-produk baru mungkin diperkenalkan seawal tahun depan
hasil kerjasama antara cabang komersil Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan atau A*STAR iaitu A*ccelerate, dengan kumpulan syarikat farmaseutikal Hyphens Pharma.

Syarikat itu juga sudah membuka ibu pejabat dan kemudahan bersepadunya yang baru di negara ini.

Masalah-masalah kulit di negara ini semakin meningkat.

Pusat Kulit Nasional merawat kira-kira 300,000 pesakit luar pada 2016, berbanding sekitar 260,000 lapan tahun sebelumnya.

Pada 2017 sahaja, lebih 18,000 kes baru ekzema dilaporkan.

Kumpulan syarikat Hyphens Pharma sedang berusaha memenuhi permintaan untuk merawat dan menguruskan masalah ekzema dengan krim dominan seramida yang dihasilkannya.

Krim itu, yang tidak mengandungi steroid, membantu melembab dan mengembalikan fungsi ketahanan kulit.

Ubat-ubat jenis steroid yang dimakan atau dalam bentuk krim membantu mengurangkan keradangan kulit akibat ekzema tetapi boleh menyebabkan kulit menjadi tipis jika digunakan dalam tempoh yang lama.

Hyphens Pharma menyatakan masih ada ruang untuk memperbaiki lagi produknya itu. Ia juga merancang untuk menjual produk tersebut ke pasaran-pasaran serantau yang lain.

Syarikat itu berharap, kepakaran A* STAR dalam rumusan produk dan penyelidikan kesihatan kulit dapat memberinya kelebihan.

Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Dr Koh Poh Koon berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta seperti ini menjadi anak kunci untuk mengembangkan sektor perkilangan bio-perubatan, dan mengekalkan daya saing Singapura.

Data-data terbaru menunjukkan bahawa pengeluaran kelompok bio-perubatan meningkat sebanyak 10 peratus pada Januari lalu, didorong pertumbuhan dalam pengeluaran sektor farmaseutikal. 

Sumber : CNA/RR/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan