Skip to main content

Singapura

Produk makanan berperisa Pei Pa Koa tidak mungkin timbulkan sebarang isu keselamatan makanan: SFA

Anggaran Waktu Membaca:
Produk makanan berperisa Pei Pa Koa tidak mungkin timbulkan sebarang isu keselamatan makanan: SFA

Gambar: ninjiom.singapore/Instagram

SINGAPURA: Meskipun makanan berperisa Pei Pa Koa tidak mungkin menimbulkan sebarang isu keselamatan makanan, orang ramai seharusnya mengambil makanan sedemikian secara sederhana.

Demikian dinasihatkan Agensi Makanan Singapura (SFA) selepas sebuah rangkaian aiskrim di Malaysia baru-baru ini menarik balik pencuci mulut berperisa Pei Pa Koa daripada kedai-kedainya disebabkan kebimbangan yang dibangkitkan kementerian kesihatan negara itu.

Pei Pa Koa - yang juga dikenali sebagai Pi Pa Gao - merupakan sirap herba, yang bertujuan untuk melegakan batuk serta sakit tekak.

Ia diklasifikasikan sebagai Perubatan Proprietari Cina dan dikawal selia oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA), jelas SFA pada Selasa (6 Ogos) sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Agensi itu sedia maklum bahawa produk herba Cina biasanya digunakan dalam makanan sebagai bahan atau perisa dalam jumlah yang kecil. Produk makanan sedemikian perlu memenuhi syarat keselamatan SFA, dan ia tidak seharusnya diambil semata-mata untuk mencegah, merawat atau mengurangkan sebarang penyakit.

"Memandangkan terdapat paras rendah setiap bahan herba dalam makanan sedemikian, produk makanan berperisa Pei Pa Koa tidak mungkin mempunyai sebarang masalah keselamatan makanan," jelas SFA.

"Walaubagaimana pun, para pengguna dinasihati mengambil produk sedemikian secara sederhana."

Menurut laman syarikat itu di Singapura, produk berkenaan mengandungi bahan seperti seperti teratai frilitari Himalaya, daun loquat, kulit pomelo dan akar platycodon, yang digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Cina.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan pada 30 Julai lalu bahawa penjualan aiskrim berserta Pei Pa Koa dilarang dari segi undang-undang. Di bawah Akta Makanan Malaysia, ia merupakan satu kesalahan untuk memalsukan barangan yang boleh dimakan dengan ubat atau menjual barangan tersebut.

Rangkaian aiskrim, Inside Scoop kemudian berhenti daripada menjual pencuci mulut Pei Pa Koa dan menarik balik semua gambar promosi produk berkenaan.

Di Singapura, SFA mengatakan bahawa berdasarkan rundingan dengan HSA dan industri makanan itu, ia akan terus menilai penggunaan bahan herba sedemikian dengan selamat dalam makanan bagi kegunaan jangka panjang.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita