Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Probesyen bagi NSF yang lakukan penipuan $2,500 geran COVID-19 pemerintah

Seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dikenakan probesyen 18 bulan pada Selasa (19 Jan) kerana menipu Pemerintah sebanyak S$2,500 dalam bentuk geran COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Probesyen bagi NSF yang lakukan penipuan $2,500 geran COVID-19 pemerintah

Yee Jia Hao dilihat di luar mahkamah pada 8 Dis 2020 (Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 19 Jan 2021 03:29PM Dikemas Kini : 19 Jan 2021 03:34PM

SINGAPURA: Seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dikenakan probesyen 18 bulan pada Selasa (19 Jan) kerana menipu Pemerintah sebanyak S$2,500 dalam bentuk geran COVID-19.

Yee Jia Hao, 20 tahun, menggunakan wang yang diperolehinya untuk berjudi dan belum memulangkannya semula.

Selain probesyen, Yee juga perlu melakukan khidmat masyarakat selama 60 jam dan menghadiri program pencegahan berjudi semula.

Yee mengambil kesempatan daripada Dana Bantuan Sementara itu, sebuah skim bantuan kewangan yang diumumkan Pemerintah pada Mac tahun lalu sebagai sebahagian daripada Belanjawan Berdaya Tahan untuk membantu menangani kesan ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19.

Untuk mendapatkan geran tersebut, pemohon mesti memenuhi kriteria tertentu termasuk kehilangan sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan peribadi disebabkan pandemik berkenaan.

Setiap pemohon perlu memberikan butiran akaun bank PayNow berdaftar yang dikaitkan dengan NRIC atau nombor telefon pemohon dan mereka yang layak akan segera menerima bayaran S$500 tidak kira jumlah kehilangan pendapatan.

Pada 17 Apr tahun lalu, semasa Yee seorang NSF, dia membuat satu permohonan dengan menipu bahawa dia kehilangan sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan peribadi disebabkan pandemik COVID-19.

Dia tahun maklumat itu palsu kerana dia tidak bekerja sebelum pandemik itu dan pendapatannya hanya meningkat apabila dia mula menjalani perkhidmatan negara.

Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga (MSF) ditipu dan mengeluarkan bayaran S$500 kepadanya pada 20 Apr tahun lalu.

Selepas menerima wang tersebut, Yee meminta butiran SingPass bapanya lalu mendakwa dia akan membantu bapanya memohon untuk geran Pemerintah. Sebaliknya, Yee membuat satu permohonan yang menipu bahawa bapanya kehilangan sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatannya.

Bapanya masih menerima jumlah pendapatan yang sama menerusi pekerjaannya dengan sebuah syarikat pemasaran. Yee menggunakan butiran akaun bank PayNow miliknya dalam permohonan atas nama bapanya lalu menerima lagi S$500.

Sehari selepas menerima wang tersebut, Yee meminta temannya untuk memberi kepadanya maklumat SingPass beliau sambil mendakwa dia akan membantunya memohon untuk kursus SkillsFuture.

Temannya bertanya kepada Yee sama ada dia merancang untuk menggunakan maklumatnya dengan cara yang melanggar undang-undang. Namun Yee memberi jaminan kepadanya sebanyak empat kali bahawa dia tidak akan berbuat demikian. Yee menggunakan maklumat temannya untuk membuat permohonan palsu yang ketiga dan menerima lagi S$500.

Selain jenayah tersebut, Yee juga membantu seorang teman untuk membuat permohonan geran palsu. Bagaimanapun wang itu tidak dimasukkan ke akaun temaannya. Sebaliknya, Yee meletakkan butiran akaun PayNow miliknya dalam permohonan tersebut dan wang itu diberikan kepadanya.

Seorang pegawai MSF membuat laporan polis pada 27 Mei tahun lalu, menyatakan bahawa teman Yee menggunakan maklumat SingPass miliknya untuk membuat permohonan geran online secara palsu tanpa pengetahuannya.

Siasatan mendapati bahawa lapan permohonan seumpama itu dibuat menggunakan nombor telefon Yee, dan lima daripadanya sudah diluluskan dan bayaran sudah dibuat kepada Yee.

Yee menggunakan wang itu untuk berjudi dan tidak memulangkannya. Dia mengaku bersalah ke atas empat tuduhan menipu dan percubaan menipu dengan lagi enam tuduhan turut dipertimbangkan.

Ibu bapanya membayar bon S$5,000 sebagai jaminan dia akan berkelakuan baik semasa tempoh probesyen.

Bagi setiap tuduhan menipu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan