Skip to main content

Singapura

Probesen bagi pelajar asing yang lawan pegawai NEA kerana merokok dalam kedai

Dia sedang merokok dalam sebuah kafe Internet pada 20 Jun 2017 apabila dia menyedari para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang mendekatinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Probesen bagi pelajar asing yang lawan pegawai NEA kerana merokok dalam kedai

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 04 Feb 2019 03:28PM Dikemas Kini : 04 Feb 2019 03:29PM

SINGAPURA: Dia sedang merokok dalam sebuah kafe Internet pada 20 Jun 2017 apabila dia menyedari para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang mendekatinya.

Segera membuang puntung rokok itu, Wei Sining, 19 tahun, membantah ketika butiran peribadinya diminta lalu menolak salah seorang pegawai NEA, dengan menyikunya pada bahagian dada supaya dapat melarikan diri.

Wei, seorang pelajar dari China, berlari ke arah tingkap di tingkat dua One Internet Cafe lalu mencuba untuk melarikan diri. Namun, dia akhirnya dicekup dan ditahan dua pegawai.

Semasa sedang bergelut, dia melemparkan kata-kata kesat (you piece of shit) dan memekik dalam bahasa Mandarin: "Ibu anda sudah mati ah."

Wei dijatuhi hukuman probesen selama dua tahun hari ini (4 Feb), dan perlu melakukan kerja-kerja masyarakat selama 120 jam. Dia juga akan diletakkan di bawah skim pengawasan elektronik.

Warga asing lazimnya tidak dikenakan hukuman probesen namun pihak pendakwa menyemak semula keputusannya selepas meneliti laporan-laporan yang menunjukkan Wei mempunyai asal-usul dari Singapura.

Dia sudah berada di Singapura dengan ibunya yang berasal dari China dan ayah tirinya, seorang rakyat Singapura, sejak 2014. Dia juga ditawarkan tempat di Institut Pendidikan Teknikal dalam jurusan penghijauan dan pelandskapan bandar.

Semasa menjatuhkan hukuman ke atasnya, Hakim Daerah Terence Tan menarik perhatian bahawa Wei melarikan diri dari rumah ke kedai LAN kerana dia berasa marah dengan ibunya.

Ditanya hakim tentang bagaimana dia merancang untuk menjadi seorang individu lebih baik, Wei dalam bahasa Mandarin mengatakan beliau amat menyesali perbuatannya. "Mulai sekarang, saya akan rajin ke sekolah, saya akan masuk kelas dan pulang ke rumah tepat pada waktunya."

Dia selanjutnya berkata dia berharap diberi peluang untuk berubah dan mengakui sebelum ini "kurang dewasa". Namun, selepas itu, dia banyak merenung kembali tentang perbuatannya dan tahu apa yang harus dilakukan.

Peguam Wei, Ryan Yu, anak guamnya tidak pernah melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang sebelum ini. Encik Yu menambah, Wei datang dari sebuah "keluarga pincang" dan ibunya "tidak mempunyai pilihan tetapi bekerja keras demi menyara kehidupan keluarganya."

Meskipun dilahirkan di China, Wei datang ke Singapura selepas ibunya berkahwin dengan seorang rakyat Singapura pada 2013. Dia didaftarkan ke dalam Sekolah Menengah Outram setahun kemudian dan melangkah ke ITE pada usia 19 tahun pada 2016.

Pasportnya ditahan polis dan dia tidak dibenarkan memperbaharui Pas Lawatan Jangka Panjang.

Ibu bapanya juga membayar ikat jamin S$5,000 sebagai jaminan anak mereka akan terus berkelakuan baik.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita