Skip to main content

Singapura

Pritam Singh kekal Setiausaha Agung WP susuli undian rahsia

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berjaya mengekalkan kedudukannya menyusuli undian rahsia berhubung kepimpinannya dalam persidangan khas anggota kader parti pembangkang itu pada Ahad (28 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jun 2026 06:20PM Dikemas Kini : 26 Jul 2026 01:32AM
SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berjaya mengekalkan kedudukannya menyusuli undian rahsia berhubung kepimpinannya dalam persidangan khas anggota kader parti pembangkang itu pada Ahad (28 Jun).

Parti itu turut mengadakan pemilihan dwitahunannya. Cik Sylvia Lim dipilih semula sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), manakala anggota kader memilih 12 lagi anggota untuk menganggotai badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut.

Anggota CEC yang lain ialah:
 
  • Abdul Muhaimin Abdul Malik
  • Chua Kheng Wee Louis
  • Dennis Tan Lip Fong
  • Eileen Chong Pei Shan
  • Gerald Giam
  • Harpreet Singh
  • He Ting Ru
  • Jamus Lim
  • Kenneth Tiong
  • Low Thia Khiang
  • Muhamad Faisal Abdul Manap
  • Tan Kong Soon
Persidangan khas anggota kader itu diadakan selepas 25 anggota kader mengemukakan permohonan rasmi pada hujung tahun lalu. Encik Pritam diminta untuk memberi penjelasan berhubung sabitannya atas tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa, serta meletakkan jawatan atau berdepan undian rahsia.

Menjelang persidangan itu, mantan Setiausaha Agung Low Thia Khiang, yang menerajui parti itu dari 2001 hingga 2018, memberitahu para wartawan bahawa beliau akan menyokong Encik Pritam.

Awal tahun ini, CEC mengeluarkan surat teguran kepada Encik Pritam selepas menjalankan proses tatatertib dalaman berhubung sabitan mahkamah terhadapnya.

Jawatankuasa itu menerima dapatan panel tatatertib bahawa Encik Pritam melanggar perlembagaan parti itu, namun menilai bahawa beliau tidak berniat untuk bertindak bertentangan dengan prinsip, matlamat atau kepentingan WP. Panel tatatertib yang terdiri daripada tiga anggota itu dianggotai Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sengkang, Jamus Lim dan He Ting Ru, serta mantan Anggota Parlimen Hougang, Png Eng Huat.

Mahkamah Tinggi Singapura pada Disember 2025 mengekalkan sabitan terhadap Encik Pritam atas dua tuduhan berbohong ketika memberikan keterangan di bawah sumpah kepada sebuah jawatankuasa parlimen. Tuduhan itu berpunca daripada cara beliau mengendalikan kenyataan palsu yang dibuat di parlimen oleh mantan Anggota Parlimen WP, Raeesah Khan.

Parlimen pada Januari meluluskan usul yang menyatakan kekesalan terhadap tindakannya, dengan 10 Anggota Parlimen WP dan seorang Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) menyatakan bantahan mereka.

Perdana Menteri Lawrence Wong kemudiannya melucutkan Encik Pritam daripada jawatannya sebagai Ketua Pembangkang dan menjemput WP untuk mencalonkan Anggota Parlimen lain untuk memegang jawatan tersebut. Parti itu bagaimanapun menolak pelawaan tersebut.

Encik Pritam pertama kali dilantik sebagai Setiausaha Agung WP pada 2018 dan dipilih semula tanpa bertanding pada 2020, 2022 dan 2024.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita