Pritam Singh ganti Low Thia Khiang sebagai ketua WP
Anggota Parlimen GRC Aljunied dari Parti Pekerja (WP), Pritam Singh diundi menjadi Setiausaha Agung baru parti tersebut semasa persidangan dwitahunan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), hari ini (8 Apr).
SINGAPURA: Anggota Parlimen GRC Aljunied dari Parti Pekerja (WP), Pritam Singh diundi menjadi Setiausaha Agung baru parti tersebut semasa persidangan dwitahunan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), hari ini (8 Apr).
Encik Singh mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Low Thia Khiang yang mengumumkan November lalu bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pengundian kali ini bagi memberi laluan kepada generasi muda. Encik Low telah menyandang jawatan tertinggi parti tersebut sejak 2001.
Encik Pritam Singh yang sebelum ini merupakan Penolong Setiausaha Agung parti dipilih tanpa pertandingan dalam mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat WP.
Pengerusi WP Cik Sylvia Lim juga diundi semula tanpa pertandingan.
Encik Singh sebelum ini disebut-sebut sebagai pengganti utama Encik Low. Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) WP Dennis Tan dan Leon Perera, serta mantan NCMP Gerald Giam, menyuarakan sokongan mereka terhadap Encik Singh.
NCMP Daniel Goh juga menulis dalam catatan Facebooknya Februari lalu, memberi sokongan kepada Encik Singh untuk menjadi ketua parti itu.
Pada 2016, Encik Low bertanding dengan Encik Chen Show Mao bagi jawatan itu tetapi Encik Low menang dengan undian 61-45 untuk memimpin WP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.