Pritam Singh dipanggil semula beri kenyataan tambahan di hadapan COP
Jawatankuasa Hak Istimewa minta Pritam Singh perjelas frasa "keputusan yang harus anda buat" yang dikatakannya kepada Raeesah Khan.
Encik Pritam Singh semasa prosiding COP pada 15 Dis 2021. (Petikan skrin: YouTube/govsg)
SINGAPURA: Setiausaha agung Parti Pekerja (WP), Pritam Singh dipanggil semula pada Rabu (15 Dis) oleh Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) untuk menjelaskan versinya mengenai pertemuan pada 3 Oktober dengan Cik Raeesah Khan.
Ini selepas pengerusi WP Sylvia Lim pada Isnin membentangkan dokumen yang merakam perbualan antara Encik Singh dengan Cik Raeesah semasa mesyuarat panel disiplin pada 29 Nov.
COP menyatakan dalam laporan khas kelimanya yang dikeluarkan pada Rabu bahawa Encik Singh diberi peluang untuk menjelaskan keterangannya menyusuli itu.
Sesi pada Rabu adalah lebih singkat, iaitu kurang 40 minit, berbanding sembilan jam yang dihadapi Ketua Pembangkang itu minggu lalu.
Dokumen yang diserahkan Cik Lim kepada COP adalah nota yang beliau catatkan semasa temu bual panel disiplin WP dengan Cik Raeesah pada 29 Nov. Ia menyatakan perbualan antara Encik Singh (PS) dengan Cik Raeesah (RK) seperti berikut:
PS: Sebelum sesi Okt, saya bertemu anda + saya beritahu anda ia adalah keputusan yang harus anda buat. Adakah keperluan berterus terang di Parl(imen) terlintas di fikiran?
RK: Ya, tapi dibelenggu rasa salah + pengalaman sendiri. Sangka ia tidak akan dibangkitkan.
PS: Tidak boleh bohong, bukan?
RK: Ya.
Encik Singh memberi keterangan bahawa nota Cik Lim dengan tepat merakam apa yang dikatakan Ketua Pembangkang itu kepada Cik Raeesah semasa sidang disiplin pada 29 Nov.
"KEPUTUSAN YANG HARUS ANDA BUAT"
Encik Singh bersetuju bahawa frasa "keputusan yang harus anda buat" mungkin ditafsirkan sebagai beliau telah, pada 3 Okt, memberitahu Cik Raeesah bahawa wanita itu perlu membuat pilihan sama ada untuk bercakap benar atau terus berbohong, jika disoal pada 4 Okt di Parlimen.
Namun Encik Singh berkata apa yang beliau maksudkan apabila berkata "keputusan yang harus anda buat" ialah Cik Raeesah patut bertanggungjawab ke atas tugasnya di Parlimen. Dan ia perlu "dilihat dalam konteks".
Pada 4 Okt, Cik Raeesah terus mengulangi pembohongan yang diceritakannya pada 3 Ogos - bahawa beliau telah menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, yang kemudiannya keluar sambil menangis kerana seorang pegawai polis membuat komen tentang cara pemakaiannya dan dia telah minum arak.
Pada 1 Nov, Cik Raeesah membuat kenyataan di Parlimen untuk memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau telah mendengar anekdot itu dalam sebuah kumpulan sokongan, namun berbohong bahawa beliau sendiri menemani mangsa, kerana beliau tidak mahu mendedahkan bahawa beliau mengalami serangan seksual pada usia 18 tahun semasa di luar negara.
Seluruh kejadian itu membawa kepada aduan kepada COP yang dibuat terhadap Cik Raeesah, yang telah meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang dan dari Parti Pekerja.
Encik Singh, yang tahu sejak 8 Ogos bahawa kenyataan Cik Khan adalah tidak benar, juga telah dipanggil ke COP untuk memberi keterangan.
Meskipun Cik Raeesah berkata bahawa beliau telah diberitahu oleh pemimpin WP itu untuk "mengekalkan naratif", Encik Singh telah memberi kenyataan bahawa beliau memberitahunya untuk "bertanggungjawab" atas pembohongan di Parlimen - yang mana beliau bermaksud agar Cik Raeesah memberitahu perkara sebenar.
Pada 15 Dis, Encik Singh memberitahu COP bahawa "Ia adalah keputusan yang harus anda buat" bukanlah kata-kata yang digunakan semasa berbual dengan Cik Raeesah pada 3 Okt, dan kata-kata yang digunakannya tidak menawarkan sebarang pilihan kepada Cik Raeesah.
Beliau menambah bahawa nota Cik Lim juga menggambarkan bahawa beliau telah memberitahu Cik Raeesah pada mesyuarat 29 Nov bahawa Cik Raeesah tidak boleh bercakap bohong.
Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa adalah munasabah untuk menafsirkan frasa "keputusan yang harus anda buat" sebagai bermaksud bahawa ia adalah satu pilihan yang perlu dibuat oleh Cik Raeesah.
Apabila ditanya mengapa beliau menggunakan kata-kata sedemikian semasa bercakap dengan Cik Raeesah pada 29 Nov, Encik Singh menjawab: "Pada saya, ia adalah dalam konteks bagaimana beliau memberi respons terhadap kami.
"Maksud saya, sepanjang mesyuarat pada 29 hari bulan adalah satu mesyuarat di mana beliau asyik menangis dan menangis dan menangis tanpa henti. Dan dalam konteks ini, saya mengajukan soalan yang pada saya akan mendapatkan respons, yang akan membantu bagi DP (panel disiplin). Jadi begitulah saya menyusun soalan itu."
PRITAM SINGH PERJELAS SEBAB TIDAK CAKAP TERUS TERANG DENGAN RAEESAH KHAN
Encik Singh juga ditanya mengapa beliau tidak memberitahu Cik Raeesah pada 3 Okt untuk bertanggungjawab ke atas perbuatannya dan memberitahu perkara sebenar di Parlimen, dan mengapa Encik Singh tidak memperjelaskan perkara tanpa beralas dan berterus terang dengan Cik Raeesah.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang Edwin Tong, yang mengendalikan kebanyakan soal balas dalam sesi Rabu - yang turut dikeluarkan dalam video - berkata: "Dalam konteks, pada 3 Oktober, Cik Raeesah adalah seorang AP yang baru, AP yang baru setahun atau baru menginjak setahun di Parlimen."
Encik Tong menyambung: "Dan beliau telah mengaku dua bulan sebelum itu bahawa beliau berbohong di Parlimen, datang berjumpa dengan pemimpin kanannya di Parti Pekerja. Adakah anda tidak akan menerima bahawa dalam konteks itu, sebenarnya, satu-satunya perkara yang patut beritahu kepadanya pada masa itu sepatutnya adalah: 'Lihat, Cik Khan, terdapat satu pembohongan dalam rekod, anda mesti tampil dan mengakunya, cakap yang benar di Parlimen jika ia dibangkitkan.' Nyatakan ini dengan jelas, dalam istilah langsung yang jelas dan ringkas. Adakah anda bersetuju?"
Menurut laporan COP, Encik Singh berkata beliau percaya telah menyampaikan mesej itu kepada Cik Raeesah dengan caranya sendiri, apabila beliau memberitahunya pada 3 Oktober untuk bertanggungjawab ke atas tindakannya sendiri.
PRITAM SINGH DISOAL TENTANG FRASA "TIDAK AKAN MENGHAKIMI"
Encik Singh juga ditanya mengenai bukti yang diberikan oleh salah seorang pembantu Cik Raeesah, Cik Loh Pei Ying. Cik Loh berkata beliau "kecewa" kerana Encik Singh telah memberi Cik Raeesah pilihan sama ada wanita itu harus berterus terang jika ditanya mengenai anekdot itu di Parlimen pada 4 Okt.
Encik Singh ditanya mengapa Cik Loh bertanggapan sedemikian susuli perbualannya dengan Encik Singh pada 12 Okt - bahawa pilihan telah diberikan kepada Cik Raeesah.
Encik Singh berkata bahawa perkataan "Saya tidak akan menghakimi anda" nampaknya "tersemat" dalam fikiran Cik Loh dan beliau seolah-olah memberi banyak penekanan pada frasa itu, tanpa memberi cukup penekanan pada "konteks" di mana frasa itu diungkapkan, iaitu mengenai "memikul tanggungjawab".
Apabila ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa berdasarkan bukti yang diberikan oleh Cik Loh mengenai kesimpulannya daripada perbualan dengan Encik Singh pada 12 Okt, iaitu tanggapan Cik Loh ialah pilihan telah diberikan kepada Cik Raeesah sama ada untuk memberitahu perkara sebenar, Encik Singh berkata: "Saya fikir ia ... jauh lebih bernuansa daripada itu ... apabila beliau mendahului kenyataannya dengan berkata 'Saya rasa beliau membayangkan'...
"Jadi terdapat banyak bidang samar-samar di sini. Dan pada saya adalah amat jelas bawah Cik Raeesah, sama ada beliau AP baru atau tidak, saya tidak rasa perkara-perkara ini perlu dijelaskan bahawa jika anda berbohong, anda harus, ia, bukan mengenai .. ia adalah sesuatu yang tidak boleh anda buat."
SINGH, LIM, FAISAL DIPANGGIL
Dalam satu kenyataan media, Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen menyatakan bahawa COP mengeluarkan perintah ke atas Encik Singh, Cik Lim dan naib pengerusi Faisal Manap untuk mengeluarkan dokumen, termasuk komunikasi sesama pemimpin kanan, berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh COP selewat-lewatnya pada Isnin.
COP telah meminta dokumen-dokumen itu dari 10 hingga 14 Dis namun pemimpin WP tersebut gagal atau enggan mengeluarkannya, menurut kenyataan itu.
Parlimen menyatakan bahawa prosiding jawatankuasa itu "secara amnya hampir selesai" namun ia boleh meminta keterangan lanjut "jika wajar". Prosiding direhatkan hingga Isnin.
"Ia akan membentangkan dapatan dan saranannya kepada Parlimen pada satu tarikh kelak."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.