Pritam Singh boleh bertanding dalam GE2025
Ketua Pembangkang Pritam Singh boleh bertanding dalam Pilihan Raya akan datang kerana hukuman bagi kesalahan berasingan tidak boleh digabungkan untuk melucutkan kelayakannya sebagai Anggota Parlimen.
Ketua Pembangkang dan Pemimpin Parti Pekerja Pritam Singh tiba di Mahkamah Negara pada 17 Februari 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Pritam didapati bersalah pada Isnin (17 Feb) atas dua tuduhan kerana berbohong kepada Parlimen mengenai keterangan palsu yang diberikan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) pada 10 Disember dan 15 Disember 2021, semasa siasatan jawatankuasa itu terhadap tingkah laku bekas Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Raeesah Khan.
Pritam dikenakan denda maksimum S$7,000 bagi setiap kesalahan.
Dalam satu kenyataan selepas sesi mahkamah pada Isnin, Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan bahawa di bawah Perlembagaan, seseorang itu dibatalkan daripada terus menjadi Anggota Parlimen berdasarkan hukuman bagi satu kesalahan.
"Jika seseorang dituduh atas pelbagai kesalahan dan hukuman yang dikenakan bagi setiap kesalahan itu tidak mencapai had pelucutan kelayakan iaitu hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga S$10,000, orang itu tidak dilucutkan kelayakan daripada menjadi Anggota Parlimen," kata ELD.
"Hukuman bagi kesalahan berasingan tidak boleh digabungkan bagi tujuan ini."
Tidak lama selepas hukuman dijatuhkan dan sebelum kenyataan ELD dikeluarkan, Pritam berkata dia "berniat untuk bertanding" dalam Pilihan Raya Umum akan datang, yang perlu diadakan sebelum 23 November.
Pasukan guamannya telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.