Pritam Singh beri keterangan tidak faham kenapa Raeesah nangis, sukar jelaskan kisah mangsa rogol
Pritam Singh dan Raeesah Khan. (Gambar: Syamil Sapari/CNA)
SINGAPURA: Ketua Pembangkang Pritam Singh memberi keterangan pada pagi Selasa (5 Nov) tentang bagaimana sukar baginya untuk faham mengapa Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja Raeesah Khan pada ketika itu menangis apabila diminta menjelaskan anekdot rogol yang dibangkitkannya, dan bagaimana beliau tidak merasakan sukar bagi Cik Raeesah untuk mendedahkan butiran tersebut.
Encik Pritam, 48 tahun, memberi jawapan buat pertama kali di mahkamah selepas disoal oleh peguamnya, Encik Andre Jumabhoy.
Ini selepas hakim mendapati pihak pendakwa membentangkan hujah mencukupi terhadapnya.
Kes terhadap Pritam melibatkan anekdot yang diberikan Cik Raeesah di parlimen pada 3 Ogos 2021, di mana sebagai AP GRC Sengkang, beliau telah menemani seorang mangsa rogol ke balai polis. Beliau kemudian mengaku ia adalah palsu.
Encik Pritam mencabar dua tuduhan di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) kerana memberi jawapan palsu kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), yang ditubuhkan bagi menyiasat tindakan Cik Raeesah.
Tuduhan pertama mendakwa beliau berbohong apabila berkata mahu Cik Raeesah memberikan penjelasan mengenai pembohongan yang dibuatnya di parlimen, semasa mereka bertemu pada 8 Ogos 2021 bersama-sama dua lagi pemimpin WP, Sylvia Lim dan Muhamad Faisal Abdul Manap.
Tuduhan kedua mendakwa bahawa beliau memberi jawapan palsu kepada jawatankuasa parlimen itu apabila beliau berkata bahawa telah memberitahu Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021 supaya menjelaskan ceritanya tentang mangsa rogol itu sekiranya isu itu dibangkitkan di parlimen pada keesokan hari.
PRITAM BUTIRKAN BAGAIMANA BELIAU KENAL RAEESAH
Encik Pritam berkongsi bagaimana beliau memilih untuk berhenti bekerja sebagai seorang peguam untuk memberi tumpuan kepada kewajipan sebagai AP, kerana beliau mendapati "sukar untuk memberi sepenuh perhatian kepada kawasan undi dan mempunyai kerja sepenuh masa di luar".
Beliau juga menjelaskan bagaimana selepas menggantikan Encik Low Thia Khiang sebagai setiausaha agung WP pada 2018 dan menjadi Ketua Pembangkang pada 2020, beliau mempunyai "lebih banyak tanggungjawab disebabkan jumlah lebih ramai di parlimen".
Menurutnya, beliau pertama kali bertemu Cik Raeesah pada awal 2019 apabila beliau membuat kerja-kerja sukarelawan dengan WP sebagai penulis kes.
"Beliau menyertai sesi bertemu penduduk (MPS) dan ditugaskan untuk menjadi penulis kes."
Seorang penulis kes membuat rumusan tentang isu-isu yang dihadapi penduduk dan menyerahkan kes tersebut kepada Encik Pritam, supaya beliau boleh bertemu dengan penduduk itu.
Encik Pritam kemudian berkata bahawa ucapan yang dibuat oleh Cik Raeesah di parlimen pada 3 Ogos 2021 dimuat naik sebagai draf ke sebuah portal yang digunakan AP WP.
Bagaimanapun, anekdot itu hanya diselitkan agak lewat pada malam sebelumnya, dan beliau hanya menyedarinya pada pagi 3 Ogos 2021.
KOMEN UNTUK "BUKTIKAN"
"Jadi saya membaca ucapan itu pada sebelah pagi, sepertimana saya lakukan bagi semua ucapan, jika ada yang belum dibaca, dan saya nampak rujukan itu dibuat (menemani mangsa rogol berusia 25 tahun bagi membuat aduan polis)," kata Encik Pritam.
"Saya melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dibuktikan dengan kukuh, saya boleh jangkakan akan ada seseorang di parlimen yang akan bangkit bercakap - bila ini berlaku... saya jangkakan ia boleh dibangkitkan, jadi saya bulatkan anekdot itu dan tulis perkataan 'buktikan' (substantiate).
Beliau kemudian memaklumkan seorang penolong untuk menyerahkannya kepada Cik Raeesah.
Beliau tidak membincangkan anekdot itu dengan Cik Raeesah sebelum beliau menyampaikan ucapan tersebut di parlimen.
"Apabila anda tulis 'buktikan', apa maksud anda?" tanya Encik Jumabhoy.
"Maksud saya, dia perlu menjelaskan dengan butiran lanjut mengenai anekdot itu," kata Encik Pritam.
"Butirannya tidak jelas, dan dia perlu kukuhkannya. Jika tidak, dia boleh menjangkakan untuk ditanya mengenai anekdot ini secara khusus."
Encik Pritam berkata beliau berada di dewan parlimen pada 3 Ogos 2021 apabila Cik Raeesah menyampaikan ucapan itu.
Selepas ucapannya, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan mahukan penjelasan daripada Cik Raeesah tentang dakwaan mangsa rogol tidak ditangani dengan wajar, sambil berkata "kami memandang ini dengan sangat serius".
Beberapa minit kemudian, Encik Pritam menghantar kiriman teks kepada Cik Raeesah, dengan memberitahunya: "Saya dapat rasakan ini akan berlaku. Saya bulatkan bahagian ini dalam ucapan draf anda. Kita harus tulis secara formal kepada pihak polis dengan penjelasan untuk menangani hal ini."
Diminta untuk menjelaskan kiriman teks beliau, Encik Pritam berkata beliau mencadangkan Cik Raeesah menulis kepada polis dengan penjelasan yang diminta Menteri Tan.
"Saya tidak merasakan bahawa ia sesuatu perkara yang sukar untuk memberikan butiran dan beliau hanya perlu mendedahkannya kepada menteri itu," katanya.
Cik Raeesah segera membalas mesej Encik Pritam dengan mengatakan bahawa beliau ingatkan apa yang disunting sudah cukup untuk "menolak kemungkinan ini".
Selepas itu, Encik Pritam berkata beliau bertemu Cik Raeesah di pejabatnya pada hari yang sama.
"Saya dimaklumkan oleh salah seorang daripada pembantu peguam saya bahawa Raeesah berada di pejabat LO (Ketua Pembangkang), dan dia sedang menangis," kata Encik Pritam.
"Saya tidak begitu faham apa yang berlaku, jadi saya beredar dari dewan, pergi ke pejabat saya, dan mengarahkan Raeesah untuk menjelaskan, berikan butiran yang diminta Menteri Negara itu, tetapi dia katakan bahawa dia tidak dapat hubungi orang terbabit, dan dia tidak pasti sama ada dia boleh menghubungi orang itu."
Dalam kiriman teks susulan kepada Encik Pritam, Cik Raeesah bertanya sama ada ia akan membantu jika "seseorang tampil berkongsi pengalamannya".
Ditanya apa yang beliau faham tentang mesej itu, Encik Pritam berkata: "Ia kelihatan seperti dia tidak mahu berdepan dengan anekdot itu ... dia kata, adakah ia akan membantu sekiranya ada seseorang yang tampil dengan pengalamannya, saya jawab, saya kata - Tidak, Raeesah, episod ini sudah dibentangkan, kita harus tangani isu ini seperti seorang AP yang bertanggungjawab."
"Dalam pertukaran di parlimen, adalah satu perkara biasa untuk AP mendapatkan penjelasan mengenai ucapan seorang lagi AP, dan saya tidak rasa adalah terlalu sukar untuk menyatakan dengan jelas jawapan yang diminta oleh MOS Desmond daripada Raeesah, berhubung anekdot itu pada ketika itu, jadi mana-mana AP yang bertanggungjawab akan berikan jawapan bila disoal," kata Encik Pritam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.