Skip to main content

Singapura

Pritam kecewa rayuannya ditolak, tetap hormat sepenuhnya keputusan mahkamah

Ketua Pembangkang Pritam Singh berkata beliau “kecewa” tetapi menerima keputusan Mahkamah Tinggi pada Khamis (4 Dis) yang menegakkan sabitan terhadapnya kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen.
Anggaran Waktu Membaca:
Pritam kecewa rayuannya ditolak, tetap hormat sepenuhnya keputusan mahkamah
Ketua Pembangkang Pritam Singh bercakap kepada media di luar Mahkamah Agung selepas perbicaraannya pada 4 Disember 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Ketua Pembangkang Pritam Singh berkata beliau “kecewa” tetapi menerima keputusan Mahkamah Tinggi pada Khamis (4 Dis) yang menegakkan sabitan terhadapnya kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen.

Encik Pritam turut mengakui bahawa beliau “mengambil masa terlalu lama” untuk menangani pembohongan mantan anggota Parti Pekerja (WP), Raeesah Khan di parlimen.

Setiausaha Agung WP itu berkata demikian kepada para wartawan di luar Mahkamah Agung selepas membayar denda S$14,000 bagi dua tuduhan.

“Pertama sekali, Mahkamah Agung adalah tunggak rangka kerja perlembagaan kita,” kata Encik Pritam, yang merupakan seorang peguam terlatih.

“Saya sentiasa menghormati kebebasan, ketelitian dan profesionalisme mahkamah.”

Encik Pritam berkata bahawa meskipun beliau kecewa dengan keputusan tersebut, beliau menghormati dan menerima keputusan itu “sepenuhnya dan tanpa sebarang keraguan”.

“Saya memang mengambil masa terlalu lama untuk menangani pembohongan Raeesah di parlimen. Saya bertanggungjawab atas hal itu,” tambahnya.

Encik Pritam juga ditanya oleh Straits Times mengenai komen yang pernah dibuatnya tentang kes tersebut dalam rancangan terbitan CNA, The Assembly, yang disiarkan bulan lalu.
Menjawab pertanyaan itu pada Khamis (4 Dis), beliau berkata: “Sebagai Anggota Parlimen pembangkang, saya pasti mempunyai pandangan politik yang berbeza dengan lawan saya. Tetapi perbezaan itu tidak boleh sampai ke tahap sehingga ia meruntuhkan sistem atau mempersoalkan integriti mahkamah atau kakitangan awam, misalnya.

“Itu bukan cara kita menjalankan politik pembangkang di Singapura. Lantaran itu, menjangkaui apa yang telah saya katakan dalam ucapan pembukaan saya, saya menghormati dan menerima keputusan tersebut.”

Encik Pritam turut menjawab soalan daripada South China Morning Post tentang bagaimana beliau dilihat “dari segi pendapat awam” selepas keputusan itu diumumkan.

“Saya harus berhati-hati dalam hal itu. Mahkamah telahpun menyampaikan keputusannya bagi rayuan saya, dan saya rasa kita harus menghormatinya,” katanya lagi.

Pada Ogos 2021, Cik Raeesah Khan berbohong di parlimen tentang menemani seorang mangsa rogol untuk membuat aduan polis.

Beliau tampil menjelaskan perkara sebenar pada November 2021 dan telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen untuk disiasat tingkah lakunya di parlimen. Encik Pritam memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut pada Disember 2021.

Pada Mac 2024, Encik Pritam didakwa atas dua tuduhan memberikan keterangan palsu kepada jawatankuasa tersebut dengan mendakwa beliau mahu Cik Raeesah menjelaskan pembohongannya di parlimen.

Encik Pritam menafikan tuduhan-tuduhan berkenaan dan dibicarakan, sebelum didapati bersalah atas kedua-duanya pada Februari tahun ini. Encik Pritam kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan tersebut.

Keputusan pada Khamis (4 Nov) menutup kesnya. Kata Encik Pritam, ia merupakan “satu perjalanan yang panjang”.

“Sepanjang proses ini, saya telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk bertindak dengan tulus dan memenuhi tanggungjawab saya terhadap parlimen dan rakyat Singapura. Komitmen saya dalam hal itu kekal tidak berubah.

“Tumpuan saya kini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat Singapura dan bersuara untuk mereka bersama rakan-rakan saya dalam Parti Pekerja. Tugas penting itu mesti diteruskan,” kata beliau.

Encik Pritam juga berterima kasih kepada warga Singapura yang mengikuti kesnya atas “sokongan, kebaikan hati dan dorongan yang tidak putus-putus”.

“Sokongan anda mengingatkan saya tentang betapa pentingnya kerja yang kami lakukan, dan betapa pentingnya kepercayaan anda tidak disia-siakan.

“Saya berterima kasih kepada semua atas sokongan anda. Saya akan terus melakukan yang terbaik demi berkhidmat bagi Singapura dan rakyatnya,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita