Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Prinsip" tidak bina flat baru mendahului permintaan "perlu digugurkan", kata Pritam Singh

Anggaran Waktu Membaca:
"Prinsip" tidak bina flat baru mendahului permintaan "perlu digugurkan", kata Pritam Singh

Ketua Pembangkang Encik Pritam Singh dan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berucap di Parlimen pada 7 Feb 2023.

SINGAPURA: Ketua Pembangkang Pritam Singh pada Selasa (7 Feb) berkata "prinsip" untuk tidak membina flat baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mendahului permintaan adalah "langkah yang perlu digugurkan".

Ini terutama sekali disebabkan "kesan-kesan serius" permintaan dan harga terlalu tinggi dalam pasaran perumahan terhadap rakyat biasa Singapura, Ketua Parti Pekerja (WP) itu memberitahu Parlimen.

Beliau membangkitkan isu tersebut semasa mencadangkan pindaan kepada usul Pemerintah berhubung perumahan awam boleh diakses dan boleh dimampui. Dewan kemudian menolak pindaan tersebut.

Encik Singh berkata pelaksanaan dasar Pemerintah bagi rumah yang boleh dimampui tidak terhad kepada langkah-langkah meredakan pasaran, tetapi juga termasuk membina perumahan awam mendahului permintaan dan meningkatkan penjualan tanah privet.

"Pemerintah kerapkali menggembar-gemburkan isu kekurangan bekalan perumahan HDB yang berlaku semasa krisis kewangan Asia sebagai alasan untuk tidak membina flat berlebihan," kata Encik Singh.

Sekiranya peristiwa seperti krisis kewangan 1997 berlaku, Encik Singh mengakui bahawa kerugian membina perumahan awam mendahului tuntutan adalah lebihan bekalan flat.

Namun dalam "senario paling buruk" sedemikian, Pemerintah boleh menyalurkan lebihan bekalan flat ke dalam Skim Peruntukan Perumahan bagi Keibubapaan atau memperluas pilihan bagi keluarga besar, berpendapatan rendah, saran Encik Singh.

Sebagai respons, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata HDB sedang menyelia hampir 100 projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di merata negara, dengan hampir 80,000 flat sedang dibina sekarang.

"Kami akan meneruskannya. Tempo tinggi ini akan diteruskan dan menjelang 2025, kami menjangkakan sekitar 150 projek BTO dijalankan serentak," kata Enceik Lee.

Beliau juga menarik perhatian bahawa HDB sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan "secara agresif dan pada skala yang besar", sambil menambah bahawa "sumber kewangan, tenaga kerja pekerja hijrahan dan kapasiti binaan terbatas".

Menjawab pertanyaan CNA pada November lalu, HDB menyatakan ia sedang membina flat mendahului permintaan atau tempahan.
 
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan