Prinsip S'pura adalah untuk kekalkan hubungan mesra dengan semua negara: Dr Maliki
Menteri Negara Kanan Ehwal Luar (MFA), Dr Mohamad Maliki Osman, menekankan lagi dasar luar negara Singapura yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungannya dengan negara-negara sahabat, terutama dengan negara-negara jiran dan antarabangsa.
SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Ehwal Luar (MFA), Dr Mohamad Maliki Osman, menekankan lagi dasar luar negara Singapura yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungannya dengan negara-negara sahabat, terutama dengan negara-negara jiran dan antarabangsa.
Maka itu, Singapura kata beliau menanti dan mengalu-alukan penyelesaian yang dipersetujui bersama mengenai pertikaian garis had pelabuhan dan ruang udara dengan Malaysia.
"Sebagai jiran yang rapat, isu-isu akan sentiasa timbul dari semasa ke semasa yang kita harus tangani. Apa yang penting adalah bagaimana kita menanganinya - berbincang dalam semangat muhibah, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan akur kepada persetujuan yang sudah termeterai", menurut Dr Maliki di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MFA.
"Walaupun berdepan dengan kesulitan, Singapura tetap berharap untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk memupuk perhubungan yang lebih baik, dan untuk kerjasama jangka panjang yang lebih erat, demi memanfaatkan rakyat kedua-dua negara."
Mengenai hubungan Singapura dengan Indonesia pula, Dr Maliki berkata pertemuan dan pertukaran pendapat di peringkat tinggi yang begitu kerap menjadi teras hubungan dua hala yang kukuh.
Memandang ke hadapan beliau berkata sebagai sebuah negara kecil dengan ekonomi yang terbuka, Singapura perlu berusaha keras untuk mengukuhkan hubungan dan meluaskan lagi rangkaian negara-negara sahabat.
Menurutnya jalinan hubungan dua hala Singapura dengan Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Tengah adalah bersandarkan matlamat untuk mengembangkan ruang ekonomi, memelihara kesejahteraan jemaah haji dan berkongsi pengalaman pembangunan kita di wilayah tersebut.
Dr Maliki berkata jumlah perdagangan Singapura di Timur Tengah meningkat sebanyak 21.5 peratus pada 2018, dari S$50.6 bilion kepada S$61.5 bilion.
Singapura juga menikmati pertukaran lawatan di peringkat tertinggi dengan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean melawat Jordan, Oman dan Israel pada 2018. Pada Januari lalu pula, Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam menemui para pemimpin utama Saudi termasuk Putera Mahkota Mohammed Bin Salman. Minggu ini, Putera Mahkota Abu Dhabi mengunjungi Singapura di mana kedua-dua negara mengeluarkan perisytiharan bersama mengenai Kerjasama Menyeluruh Singapura-UAE.
Setiap tahun, tambah beliau, Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli memimpin rombongan ke Arab Saudi bagi Mesyuarat Menteri Haji tahunan untuk membincangkan aturan haji jemaah Singapura dan mendapatkan kuota rasmi tambahan.
Dr Maliki yang ditemui BERITAmediacorp selepas perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MFA di Parlimen, berkata semua itu kerana prinsip Singapura untuk mengekalkan hubungan mesra dengan semua negara serta dasar luar yang pragmatik dan berdaya tahan.
"Kita harus terus memajukan Singapura sebagai sebuah negara yang boleh dipercayai dan juga konsisten dengan apa yang kita lakukan. Ini bermakna kita harus cakap apa yang kita maksudkan dan maksudkan apa yang kita cakap," ujar Dr Maliki.
Yang penting, tegas beliau: "Kita memegang teguh kepada prinsip-prinsip asal kita iaitu pertama, kita melindungi kebebasan kita. Kedua, kita mempertahankan kedaulatan kita dan ketiga, kita memajukan kepentingan nasional kita."
Dalam berbuat demikian, tambah Dr Maliki, Singapura perlu "berpegang teguh" kepada sistem sejagat yang berlandaskan undang-undang antarabangsa.
Rakyat juga kata beliau harus bekerjasama dengan Pemerintah untuk memastikan kepentingan negara terus terjamin di tengah-tengah sekitaran ekonomi dan politik dunia yang semakin mencabar.
"Kita harus memastikan bahawa semua rakyat Singapura memahami bahawa dasar luar negeri kita tidak harus asing bagi mereka kerana kita akur dan mahu mereka terima bahawa diplomasi bermula di rumah," tegas Dr Maliki.
"Apabila mereka ke luar negara, bagaimana mereka terus majukan juga prinsip ini kepada rakan-rakan perniagaan mereka, bagaimana mereka memainkan peranan penting sebagai duta Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.