Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prinsip Belanjawan 2019 cerminkan 'cara Singapura': Heng Swee Keat

Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata bahawa prinsip-prinsip utama bagi Belanjawan 2019 mencerminkan "cara Singapura" dan memberi rakyat peluang "melakukan lebih dengan sumber yang kurang".

Anggaran Waktu Membaca:
Prinsip Belanjawan 2019 cerminkan 'cara Singapura': Heng Swee Keat

Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 28 Feb 2019 08:09PM Dikemas Kini : 28 Feb 2019 08:28PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata bahawa prinsip-prinsip utama bagi Belanjawan 2019 mencerminkan "cara Singapura" dan memberi rakyat peluang "melakukan lebih dengan sumber yang kurang".

Seramai 55 Anggota Parlimen (AP) menyertai perbahasan Belanjawan selama 12 jam sepanjang dua hari lalu.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan di Parlimen pada Khamis (28 Feb), Encik Heng menggariskan tiga prinsip "cara Singapura" itu adalah, mengutamakan rakyat dalam dasar-dasarnya, membuat rancangan jangka panjang sambil mengambil pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan yang berubah-berubah, serta membenarkan rakyat Singapura untuk saling bekerjasama.

Menurut beliau, prinsip-prinsip itu membenarkan Singapura untuk mencapai "hasil yang amat meyakinkan" dalam bidang pendidikan, jagaan kesihatan dan penggubalan dasar, meskipun perbelanjaannya kurang daripada negara-negara lain.

Encik Heng turut menambah bahawa dasar Pemerintah yang mengutamakan rakyat Singapura menerusi perancangannya, memperkasakan mereka menerusi pendidikan, mewujudkan sekitaran yang baik untuk keluarga, membantu mereka meraih pendapatan dan menjimat wang secukupnya untuk bersara serta menjamin sokongan untuk mereka meniti usia senja.

Bagi memastikan golongan muda menerima pendidikan yang bermutu tinggi, Encik Heng berkata bahawa pemerintah "terus meningkatkan pelaburan dalam prasekolah untuk menjadikannya lebih bermutu serta lebih mudah diakses dan dimampui terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

"Cara terbaik untuk menjaga keperluan warga adalah membina keupayaan. Antaranya, bagi golongan muda, pemerintah memberikan mereka asas kukuh untuk pendidikan bermutu dan pendedahan. Bagi pekerja, kami melabur dalam meningkatkan keupayaan mereka menerusi peningkatan kemahiran. Bagi mereka yang ketinggalan dan memerlukan bantuan untuk mengakses peluang, kami menyediakan sistem sokongan yang kukuh. Bagi golongan senja, kami menyokong mereka supaya menua dengan baik," kata Encik Heng. 

Berhubung cara Pemerintah mempertingkatkan keupayaan para pekerja, Encik Heng mengucapkan terima kasih kepada para AP kerana berucap mengenai tema yang sama iaitu "setiap pekerjaan penting". Beliau turut berkata bahawa beliau berasa senang kerana para AP Encik Zainal Sapari dan Encik Ang Hin Kee akur bahawa Belanjawan 2019 adalah "pro-pekerja".

Menurut Encik Heng lagi, pemerintah juga berani membuat keputusan sukar, terutama sekali jika ia penting bagi jangka panjang.

Misalnya, mengurangkan kuota pekerja asing dalam sektor perkhidmatan yang dibangkitkan beberapa AP.

Unsur utama bagi belanjawan masa lalu dan sekarang adalah kerjasama.

Dari sudut antarabangsa, ini dilakukan menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas, perjanjian pertahanan dan kerjasama antara para pegawai dan perniagaan.

Secara tempatan, pemerintah akan terus mengukuhkan kerjasama dengan syarikat-syarikat dan kesatuan.

Dengan membina negara yang kukuh dan bersatu padu, Singapura akan dapat menjalin kerjasama di mana-mana.

Pemerintah juga katanya akan terus memainkan peranan dalam membina masyarakat penyayang lagi inklusif serta memastikan Singapura selamat dan terkawal.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan