Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prihatin kenang jasa seniman; sedia bantu dari segi kewangan dan sosial

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kehidupan penari dan pelakon televisyen Haslinna Jaaman berubah dalam sekelip mata menjelang Hari Raya pada tahun lalu.

Ini, apabila beliau mendapati perubahan yang mencurigakan pada tubuhnya.

"Payudara saya semakin membesar. Saya dimasukkan ke hospital. Mereka buat pemeriksaan. Biopsi, CT Scan, macam-macam ujian. Baru saya tahu yang saya menghidapi TNBC (Triple Negative Breast Cancer) Barah Payudara Tiga Kali Negatif, Tahap 3," kongsi Cik Haslinna, 43 tahun, kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Penari dan pelakon televisyen Haslinna Jaaman.
Barah TNBC yang dihadapinya adalah jenis yang agresif namun dapat dikawal daripada merebak dengan rawatan kuratif.

"Kalau dapat rawatan awal, peluang dapat terus hidup itu adalah lebih besar. Saya masih melalui rawatan daya tahan tubuh dan kemoterapi untuk tempoh selama empat, lima bulan lagi. Wang mestilah penting kerana bil perubatan saya besar. Sekarang ini mencecah $40,000," dedah Cik Haslinna.
Sewaktu Cik Haslinna menghidapi TNBC (Triple Negative Breast Cancer) Barah Payudara.
Jumlah itu merupakan baki bil yang perlu beliau lunaskan secara tunai selepas ditolak manfaat rawatan perubatan syarikat di mana beliau bekerja sebagai penolong eksekutif sebuah syarikat Fintech.

Cik Haslinna yang tidak dilindungi sebarang insurans perubatan peribadi juga tidak layak untuk mendapatkan bantuan kewangan.

"Mereka cakap gaji saya lebih daripada berapa ribu dolar, jadi saya tidak boleh mendapat bantuan kewangan. Ada satu badan yang hendak memberi saya S$50 sebulan. Bil saya sebesar S$40,000 hingga S$50,000. Bagaimana hendak lunaskan dengan S$50 sebulan?," keluh Cik Haslinna.

Lantas, ibu kepada seorang anak lelaki berusia 17 tahun itu menggagahkan diri untuk mencari nafkah tambahan.

"Walaupun beliau tahu saya sakit tetapi beliau beri saya peluang. Apabila membuat perkara yang saya suka seperti berlakon, saya rasa mahu menjadi normal, mahu kembali sihat seperti biasa. Jadi saya paksa diri untuk mengagahinya."

Kepayahan hidup yang dialami insan seni seperti Cik Haslinna tidak dibiarkan.

Ini dengan pelancaran rasmi badan Penggiat Seni Melayu, Prihatin Singapore Limited pada 3 Mei 2024.

Prihatin menyokong dan membantu penggiat seni dan budaya yang menghadapi masalah kesihatan dan pelbagai cabaran.

IDEA UNTUK TUBUHKAN PRIHATIN

"Idea untuk menubuhkan Prihatin ini sejak tahun 2000. Saya perhatikan ada ramai penggiat seni yang sakit pada masa itu. Pada tahun 2021, saya kebetulan berjumpa arwah Alias Kadir di Geylang dalam keadaan beliau yang sedang susah. Beliau bertanya 'Jo, apakah selama ini penglibatan saya selama 45 tahun dalam bidang seni, adakah satu persatuan yang menjaga kebajikan para penggiat seni yang memerlukan?'" kongsi Presiden Prihatin, Encik 'Jo' Jasmi Ahmad membuka cerita.
"Arwahnya berkata, 'Bagus kalau kita dapat cuba tubuhkan satu persatuan. Takkan apabila mereka susah, kita biarkan?' Lalu saya menjemput 10 orang penggiat seni dari berbagai bidang. Saya ajukan bahawa apabila kami buat sesuatu acara, kami akan dapat sumbangan daripada orang ramai dan setelah kita bayar mereka yang terlibat, beberapa peratus daripada bakinya boleh dimasukkan ke dalam dana kebajikan. Secara tidak langsung, itulah saham untuk hari kemudian.' Maka mereka pun bersetuju."

Sejak September 2021, Prihatin telah menganjurkan pelbagai kegiatan amal.

NURADEE PENERIMA SULUNG PRIHATIN

"Pertama ialah Projek Nuradee. Adiknya masuk hospital, sakit kritikal. Kami menjemput dalam 20 penyanyi dan pemuzik. Dalam masa dua jam dalam S$10,000 dapat kami kumpulkan dan telah kami serahkan kepada mereka. Seterusnya, Malam Lekek pula adalah projek sketsa komedi di mana kami menjemput 40 penggiat seni dan bersama-sama kami berjaya mengumpul S$20,000. Kemudian kita teruskan dengan projek Makanan Amal, Projek Basikalton.

"Pada 2022, kami bekerjasama dengan Mediacorp dalam projek Sinar Kasih. Kami usulkan penerimanya seperti Riz Sunawan, Zaleha Hamid, Mahadi Shor, Mak Otek... Kami sasarkan dalam S$20,000 ke S$30,000, tetapi mendapat S$110,000. Itu pencapaian terbesar kami. Di situ juga Pak Anwar dari Pos TKI mendermakan S$10,000 dan menjadi penderma terbesar.

70 PENGGIAT SENI YANG MEMERLUKAN SUDAH RAIH MANFAAT

"Kami sekarang sudah berdaftar sebagai pertubuhan yang tidak meraih keuntungan. Sejumlah S$200,000 telah berjaya kami kumpulkan. Dan mungkin beratus ribu dolar juga sudah kami sumbangkan kepada sehingga 70 penggiat seni. Pelakon, penyanyi, pelukis, penyair, apa sahaja bentuk seni," kata Encik Jasmi.

Selain mengurangkan beban kewangan yang ditanggung, usaha murni itu juga diharap membawa keceriaan kepada golongan seni seperti Cik Haslinna.

"Prihatin beri saya S$500. Kami dapat jumpa kawan-kawan - pelakon-pelakon lain. Jadi tidak fikir tentang sakit langsung. Dapat menikmati suasana, dapat menghiburkan diri sendiri. Pada hari pelancaran itu, saya memakai rambut palsu. Sampai terpusing-pusing rambut palsu itu. Tetapi saya bahagia!" seloroh Cik Haslinna.

Cik Haslina sangat menghargai usaha yang dijalankan Prihatin.

"Objektif ditubuhkan Prihatin paling bermakna sekali. Pasal kita tidak ada insurans. Kesatuan sekerja pun tidak ada. Jadi apabila Prihatin ditubuhkan, saya fikir ia pencapaian yang teramat penting bagi dunia seni, terutama di Singapura."

Usaha Prihatin dimudahkan dengan adanya penaja terbesar dan penaung seperti syarikat Pos TKI.

"Apabila kami lihat mereka ini sudah dalam keadaan yang susah, dalam keadaan dhaif sekarang, saya rasa agak tersentuh sedikit. Mereka pernah buat kami tersenyum di atas pentas dan juga di kaca TV. Jadi jangan abaikan sumbangan mereka kepada industri drama mahupun muzik kita," tegas Encik Anwar Tahar, Pengarah Urusan, Pos TKI Logistics.

Selain Prihatin, Pos TKI Logistics turut menyumbang dalam banyak lagi usaha tanggungjawab sosial korporat di dalam dan luar negara.

MAHU PERKASA GOLONGAN SENI UNTUK BINA MASYARAKAT PRIHATIN

"Kami mungkin bakal adakan acara bangsawan, teater atau pertandingan muzik, pertandingan lawak jenaka, pertandingan dikir barat. Bukan sekadar mengumpul dana tetapi untuk menarik anak-anak muda untuk bersama kita menjalankan usaha ini. Mungkin kami adakan ‘gym’ lagu rock, lagu asli, lagu genre-genre berbeza untuk mengumpulkan mereka. Kemungkinan dalam bulan Oktober 2024. Juga ada dalam perancangan untuk menarik minat penggiat seni untuk mengetahui kaedah mencegah penyakit," kongsi Encik Jasmi.

"Kami akan adakan pakej-pakej umrah ataupun majlis-majlis keagamaan seperti tahlil untuk mengingati seniman-seniman yang telah meninggalkan kita. Sebab, jasa mereka luar biasa," tambah Encik Anwar.

Dengan membina masyarakat seni yang mengambil berat akan kesejahteraan sesama seniman, Prihatin berharap dapat terus membantu lebih ramai insan seni untuk memperjuangkan karya mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan