Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prestasi matematik pelajar Melayu S'pura dalam ujian PISA lebih tinggi dari purata OECD

 Buat pertama kalinya, pelajar-pelajar Melayu Singapura mencatat prestasi lebih baik dalam subjek matematik berbanding para pelajar lain di dunia dari negara-negara OECD.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, pelajar-pelajar Melayu Singapura mencatat prestasi lebih baik dalam subjek matematik berbanding para pelajar lain di dunia dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Ini berdasarkan kupasan perangkaan terkini dari Program Penilaian Pelajar Antarabangsa atau PISA.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, yang mengumumkan "berita baik” itu menekankan, inilah kali pertama para pelajar Melayu Singapura "melepasi purata OECD”.

Pencapaian tersebut didedahkan semasa satu sesi perkongsian dengan pihak media berhubung masyarakat Melayu/Islam tempatan minggu ini.

Ujian PISA, yang diduduki pelajar 15 tahun dari hampir 80 negara dan keputusannya dikeluarkan awal bulan ini, menunjukkan bahawa para pelajar Singapura menduduki tangga kedua terbaik di dunia dalam kategori membaca, matematik dan sains.

Ujian itu diduduki sekitar 600,000 pelajar dari merata dunia dan tahun ini, ranking pertama diduduki oleh pelajar China.

DAYA BINGKAS PELAJAR MELAYU LEBIH TINGGI DARI PURATA OECD

Bagi para pelajar Melayu Singapura pula, ulas Encik Masagos, prestasi matematik mereka lebih tinggi daripada purata OECD, sementara prestasi mereka dalam sains dan membaca setanding dengan rakan-rakan dari OECD.

Dari segi daya bingkas pula, Encik Masagos berkata, dapatan PISA menunjukkan lapan daripada setiap 10 pelajar Melayu/Islam Singapura yakin bahawa mereka boleh mengecap kejayaan.

Ini lebih tinggi daripada purata OECD, iaitu tujuh dalam setiap 10 pelajar.

Dapatan ini penting kata Encik Masagos, kerana ia membuktikan bahawa para pelajar Melayu punya keupayaan untuk mengatasi sebarang masalah dalam usaha mengejar kemajuan.

Beliau berkata bahawa inilah bukti masyarakat Melayu/Islam Singapura adalah sebuah Masyarakat Gemilang.

"Bagaimana kita semakin baik dari tahun ke tahun. Bukan kita hanya masyarakat yang hanya tahu complain, hanya tahu merasakan diri kita ini tertinggal, tersisih dan sebagainya.

"Jadi saya fikir sikap masyarakat kita adalah sikap masyarakat yang pemimpin-pemimpin mereka dan juga para karyawan bukan hanya mahu maju sendiri tapi mahu maju bersama," kata Encik Masagos.

Mengulas lebih lanjut tentang pencapaian pelajar Melayu dalam ujian PISA itu, Encik Masagos berkata "kita mesti puji sistem MOE (Kementerian Pendidikan) kerana menaikkan kemampuan semua orang".

SEMAKIN RAMAI PELAJAR MELAYU RAIH IJAZAH KEPUJIAN KELAS PERTAMA

Beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air menarik perhatian bahawa bilangan pelajar Melayu/Islam dengan ijazah kepujian kelas pertama yang diberikan Anugerah MENDAKI tahun lalu adalah sekitar 70 orang.

Ashsiddique(kiri), Nur Haseena dan Saifullah(kanan) muncul antara murid paling cemerlang NUS tahun ini. (Gambar: Ummu Rabbisyfinna/BERITAMediacorp)

Gambar hiasan. (Gambar: Ummu Rabbisyfinna/BERITAMediacorp)

Mereka ini termasuk pelajar Melayu dari "universiti-universiti terbaik" tambah beliau.

Ini pertambahan 10 kali ganda berbanding sekitar tujuh orang sahaja penerima Anugerah MENDAKI yang meraih ijazah cemerlang seperti itu pada 2007. Malah menurut Encik Masagos, semasa zaman beliau menjadi mahasiswa, sukar untuk melihat pelajar Melayu meraih ijazah kepujian kelas pertama.

Encik Masagos berharap, golongan yang sudah berjaya itu akan tampil ke depan untuk memberi inspirasi kepada yang lain supaya turut bekerja keras dan meraih kejayaan.

Tanpa mendedahkan sebarang perangkaan, Encik Masagos juga berkongsi bahawa sejak beberapa tahun lalu, "kita sudah dapat menghasilkan banyak karyawan". 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan