Prestasi majlis bandaran meningkat meski 'banyak cabaran': AHTC
Prestasi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) semakin baik saban tahun, menurut majlis bandaran tersebut sebagai respons kepada kelemahan yang diketengahkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam laporannya pada Jumaat (14 Dis).
Majlis Bandaran Aljunied-Hougang. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Prestasi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) semakin baik saban tahun, menurut majlis bandaran tersebut sebagai respons kepada kelemahan yang diketengahkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam laporannya pada Jumaat (14 Dis).
"Kami berbesar hati untuk mendapati bahawa, mengikut kriteria MND sendiri, prestasi AHTC sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam pengurusan bayaran S&CC dan tadbir urus korporat sudah semakin baik," menurut kenyataan media maljis tersebut pada Jumaat malam.
"Ini dicapai menerusi usaha gigih AHTC dan para penduduknya, meskipun menghadapi pelbagai cabaran," tambahnya.
MND mengeluarkan penyata kewangan majlis-majlis bandaran dan laporan pengurusan majlis bandaran bagi tahun kewangan 2017 pada Jumaat.
Kementerian tersebut mengutarakan bahawa AHTC yang ditadbir Parti Pekerja (WP) adalah satu-satunya majlis bandaran yang menyerahkan penyata kewangan yang tidak lengkap tahun lalu dan ia adalah satu-satunya majlis yang melakukan demikian buat tujuh tahun berturut-turut.
Laporan majlis bandaran juga menyatakan AHTC mendapat markah "jingga" bagi aspek tadbir urus korporat dan penyenggaraan estet.
16 majlis bandaran dinilai setiap tahun menggunakan lima petunjuk menggunakan tiga warna - hijau, jingga dan merah. Penilaian hijau adalah yang terbaik, manakala merah menunjukkan prestasi paling lemah.
'KELEMAHAN KAWALAN' AKIBAT PENYATA KEWANGAN TAK LENGKAP
Laporan majlis bandaran menyatakan penilaian jingga AHTC bagi tadbir urus korporat adalah ekoran:
"Kegagalan menyimpan akaun dan rekod perbelanjaan yang dikemas kini disebabkan kelemahan kawalan dalaman di mana majlis bandaran berkenaan gagal menyimpan rekod pembelanjaan secara teratur."
"Ini juga sebabnya juruaudit menyifatkan penyata kewangan AHTC sebagai tidak lengkap."
Dalam responsnya, AHTC mendakwa kenyataan MND bersifat "memilih dan tidak lengkap".
"Apa yang tidak disebut oleh MND, namun disertakan oleh juruaudit bebas AHTC, adalah perbelanjaan yang dipersoalkan 'didapati diambil kira dalam perbelanjaan dan pembayaran berkaitan dalam tahun kewangan' dan 'tiada kesalahan ketara dalam urus niaga perbelanjaan dan pembayaran semasa tahun kewangan ini'," menurut AHTC.
"Sebaliknya apabila menerangkan skor jingga bagi tadbir urus korporat Majlis Bandaran Tampines Town, MND menggunakan nada yang seimbang."
KELEMAHAN DIPERBAIKI SEJAK 2012
AHTC juga menyatakan bahawa meskipun secara fakta adalah benar sudah tujuh tahun berturut-turut majlis bandaran tersebut menerima laporan penyata kewangan tidak lengkap daripada juruaudit bebasnya, laporan MND memberi bayangan seolah-olah "AHTC tidak bergerak selama tujuh tahun".
"Daripada 13 dapatan kelemahan yang diutarakan pada 2012-2013, AHTC hanya menerima satu dapatan kelemahan bagi tahun kewangan ini," menurut AHTC.
"Kami percaya tujuan MND merujuk secara khusus tentang tujuh tahun berturut-turut adalah untuk melemahkan nama baik AHTC di khalayak awam."
Anggota majlis bandaran AHTC dan para pemimpin Parti Pekerja sebelum ini dituduh gagal melaksanakan tanggunjawab fidusiari dalam mentadbir majlis bandaran dan kini sedang menandingi tuduhan itu di mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.