Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prestasi calon Anugerah Madrasah LBKM meningkat tahun demi tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Prestasi calon bagi anugerah pelajar terbaik madrasah yang diterima bagi Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) bertambah baik tahun demi tahun. 

Pemerhatian tersebut dikongsikan badan itu setelah menyenarai pendek pemenang tahun ini bagi tiga kategori berlainan. 
 
Pelajar madrasah terbaik bagi peringkat PSLE, 'O' dan prauniversiti dipilih daripada 12 calon yang dihantar enam madrasah.  

Selain keputusan yang cemerlang, mereka juga memenuhi kriteria lain seperti mempunyai nilai kepimpinan, keupayaan dalam pemikiran kritis dan rekaan. 

MAHU CIPTA APLIKASI BIJAK BUAT MASYARAKAT

Antara yang diberi penghargaan tahun ini ialah pelajar terbaik peringkat 'O', Salwa Sanaullah Khan dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah. 

Pemenang Anugerah Madrasah LBKM peringkat 'O'. (Gambar: LBKM)

Salwa meraih enam gred A1 dan tiga A2 dalam peperiksaan peringkat 'O'. 

Ini selain CGPA 4.0 mata bagi subjek-subjek ukhrawinya. 

Salwa juga pernah memenangi Anugerah Biasiswa Jurutera Masa Depan Amazon anjuran Pusat Sains dan menyertai Bengkel Kongres Asia Model Harvard. 

Dia bercita-cita untuk mencipta sebuah aplikasi bijak bagi manfaat masyarakat.

Ini yang mendorongnya untuk meneruskan pelajaran dalam bidang tersebut. 

"Saya sedang mengikuti jurusan dalam bidang Teknologi Maklumat di Institut Pendidikan Tinggi Kaplan dan saya memilih jurusan ini kerana ia bidang yang sangat diperlukan masa ini. Sejak COVID, kita menggunakan teknologi dengan lebih banyak dalam kehidupan seharian," kongsi Salwa yang menerima wang tunai S$1,000 dan baucar buku bernilai S$200. 

HEBAT BERDEBAT DALAM BAHASA ARAB & MELAYU 

Seorang lagi pelajar madrasah yang diiktiraf LBKM kali ini ialah Haninah Rehan dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah. 

Haninah memenangi anugerah bagi kategori prauniversiti dan mendapat wang tunai S$1,500 dan baucar buku bernilai S$200. 

"Anugerah LBKM mendorong saya dalam pelajaran kerana saya tahu terdapat bukan sahaja individu-individu yang menyokong saya namun sebuah masyarakat yang menyokong dan mendorong saya untuk mencapai yang terbaik dalam pelajaran saya," ujar penuntut berusia 19 tahun itu. 

Penerima Anugerah Madrasah LBKM peringkat prauniversiti. (Gambar: LBKM)

Dalam peperiksaan peringkat 'A' yang lalu, Haninah berjaya meraih tiga gred 'A', satu A1 dan satu B. 

Bagi peperiksaan peringkat madrasah pula, dia mendapat 93.1 peratus mata keseluruhan. 

Haninah juga merupakan seorang pembahas yang hebat, mendapat gelaran Pembahas Terbaik keseluruhan bagi pertandingan Bahas 4PM dan Pembahas Terbaik dalam Kejuaraan Debat Arab Antarabangsa. 

Atas minatnya dalam bidang bahasa, Haninah kini sedang mempertimbangkan tawaran bagi mengikuti jurusan Bahasa Inggeris di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Bahasa Arab di Universiti Jordan. 

PERDALAM SOKONGAN BAGI PELAJAR

Majlis Anugerah Madrasah LBKM yang ketujuh juga menyaksikan Dr Syed Harun Alhabsyi menyampaikan anugerah itu buat pertama kalinya sejak menyandang jawatan Presiden badan tersebut pada Jun lalu. 

"Prestasi pelajar-pelajar kami amat mengagumkan. Kami lihat dari tahun demi tahun, prestasi pelajar-pelajar kami dari madrasah makin meningkat dan semakin susah untuk memilih calon-calon yang diberikan pihak madrasah," kongsi Dr Syed. 

Beliau turut berkongsi rancangan LBKM untuk memperdalam sokongan yang diberikan kepada pelajar.

"Dalam jangka masa hadapan, kami akan lebih mengekalkan dan menguatkan program-program tertentu untuk meningkatkan lagi dari segi keperibadian pelajar, memberi peluang kepada mereka untuk terus melihat dari segi peluang-peluang yang terdapat bagi mereka," katanya. 

Kategori PSLE pula dimenangi oleh Aleesya Qaisarah Zulkarnain dari Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah. 

Penerima Anugerah Madrasah LBKM peringkat PSLE. (Gambar: LBKM)

Aleesya yang kini menuntut di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, menerima wang tunai S$500 dan baucar buku bernilai S$200. 

Sejak 2017, Anugerah Madrasah LBKM bertujuan mengiktiraf pelajar madrasah yang meraih kecemerlangan menyeluruh dan mencerminkan landskap pendidikan madrasah yang dinamik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan