Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

President's Star Charity 2022 tampilkan persembahan sulung Aina Abdul; 'reunion' Singapore Idol

Acara amal tahunan terbesar Mediacorp, President's Star Charity (PSC), menyasarkan untuk melebihi jumlah hampir S$11 juta yang terkumpul tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Acara amal tahunan terbesar Mediacorp, President's Star Charity (PSC), menyasarkan untuk melebihi jumlah hampir S$11 juta yang terkumpul tahun lalu.

Dengan tema "Tindakan Kecil, Perubahan Besar", ia akan memberi tumpuan kepada usaha membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

Sejak lima bulan lalu, pelbagai persiapan sudah dilakukan lebih 250 kakitangan.

Lebih 1,000 penonton pula dijangka hadir untuk menonton acara secara langsung di Teater Mediacorp, buat pertama kalinya sejak 2019.

"Di samping memberikan persembahan yang baik, PSC membuat segalanya yang boleh untuk mengumpulkan dana. Untuk dapatkan seberapa banyak dana untuk orang Singapura. Jadi saya rasa itu adalah impak yang kita katakan untuk malam esok untuk kumpulkan seberapa banyak dana yang boleh," kata Penerbit Eksekutif, PSC, Encik Lum Wai Loon.

PERSEMBAHAN DI PSC, PENCAPAIAN BESAR UNTUK AINA ABDUL

Sehari sebelum acara, artis-artis bergabung satu pentas untuk persiapan-persiapan terakhir menjelang persembahan mereka yang akan berlangsung pada Ahad (30 Okt).

Antaranya ialah penyanyi bersuara emas dari Malaysia, Aina Abdul.

Dengan rangkaian lagu-lagu popular lama dan baru, beliau bakal menyerikan lagi acara PSC tahun ini.

"Ia adalah lagu-lagu yang kalau mereka itu peminat setia saya, mereka tahulah lagu itu, lagu lama saya dan juga lagu terbaru saya," kata Aina, yang akan menyanyi dalam Bahasa Inggeris dan Melayu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Lebih istimewa lagi, persembahannya kali ini merupakan penampilan sulungnya bagi penonton televisyen Singapura.

Bagi 'anak Johor' itu, beliau teruja kerana sering menonton rancangan-rancangan Mediacorp semasa menetap di Johor dahulu.

"Sudah lama bercita-cita nak datang ke Singapura sebagai Aina Abdul dan akhirnya dapat juga peluang kali ini dan saya rasa ini akan jadi pencapaian besar buat diri saya," ujar penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah dan Semalam itu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain terkenal kerana suaranya yang memukau, Aina juga sering menjadi bualan ramai kerana citarasa fesyennya yang cukup unik.

Persoalannya, apakah gaya yang akan beliau bawa untuk PSC kali ini?

"Aina tak datang pelik-pelik kali ini ke Singapura. Saya akan datang sebagai seorang Aina Abdul yang anggun. Saya akan menggunakan warna-warna lembut dan saya harap orang Singapura sukalah dengan penampilan saya," jelasnya.

Sempena kemunculan pertamanya untuk acara amal seperti ini, Aina juga mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk menderma kepada PSC.

"Aina nak ajak semua orang yang menonton PSC 2022 untuk bersama-sama kita menderma dan berderma orang kata mengikut kemampuan masing-masing. Sedikit pun tak apa asalkan berderma," tambahnya.

'REUNION' SINGAPORE IDOL MUSIM PERTAMA DI PENTAS PSC

Selain artis antarabangsa seperti Aina Abdul dan Ellie Goulding, PSC tahun ini juga menampilkan para penyanyi tempatan termasuk Taufik Batisah dan Sylvester Sim.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Jika hampir dua dekad dahulu mereka bersaing bagi pertandingan Singapore Idol, mereka kini kembali untuk berkongsi pentas bagi tujuan amal sekali gus membawa penonton mengimbau kembali nostalgia.

"Dapat membuat persembahan bersama Sylvester di mana 18 tahun yang lalu kita telah menyanyikan sebuah lagu 'I Dream' bersama-sama di pentas dekat Stadium Tertutup. Jadi kali ini kami dapat kongsi pentas sekali lagi bagi tujuan yang murni. Jadi saya rasa amat terharu jadi tak sabar lagilah nak membuat persembahan ini," kata Taufik yang akan menyanyikan lagu 'Me and Mrs Jones'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Walaupun kini sibuk dalam bidang perniagaan dan kurang aktif dalam seni suara, Sylvester yang merupakan naib juara musim pertama pertandingan itu berkata beliau bersedia untuk kembali beraksi kerana tujuan murni acara itu.

"Saya sentiasa bersedia. Anda bawa saya ke pentas, saya akan membuat yang terbaik. Saya sebenarnya sudah lama tidak menyanyi. Saya melihat ini sebagai sesuatu yang bermakna dan memberi saya sebab untuk menyertainya," kata Sylvester, yang turut akan membawakan lagu 'When I Look Into Your Eyes'.

PSC 2022 boleh ditonton secara langsung di meWATCH, Saluran 5 dan YouTube Mediacorp Entertainment, jam 7.30 malam pada Ahad (30 Okt).

Sumbangan boleh dibuat menerusi laman mediacorp.sg/psc2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan