Skip to main content

Singapura

Presiden Vietnam To Lam beri amaran tentang 3 krisis global dalam ucaptama Dialog Shangri-La

Dunia kini berdepan pelbagai risiko dan ketidaktentuan yang perlu ditangani secara langsung oleh negara-negara, kata pemimpin tertinggi Vietnam To Lam pada Jumaat (29 Mei) semasa merasmikan forum pertahanan utama Asia, Dialog Shangri-La.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Vietnam To Lam beri amaran tentang 3 krisis global dalam ucaptama Dialog Shangri-La

Presiden Vietnam To Lam menyampaikan ucaptama pada Dialog Shangri-La IISS ke-23 pada 29 Mei 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 29 May 2026 09:45PM
  • To Lam, Presiden dan Ketua Parti Komunis Vietnam, merasmikan Dialog Shangri-La di Singapura dengan menekankan cabaran global seperti hakisan undang-undang, krisis pembangunan dan kepercayaan.
  • Beliau menyeru pengukuhan undang-undang antarabangsa, pertumbuhan inklusif serta dialog terbuka antara negara.
  • Forum tahunan ini menghimpunkan pemimpin pertahanan dari Amerika Syarikat, Australia, Britain, Perancis, Jepun dan lain-lain, namun Menteri Pertahanan China Dong Jun tidak hadir untuk tahun kedua berturut-turut.
  • Ketiadaan China dianggap peluang terlepas untuk berinteraksi, menurut Menteri Pertahanan Australia, sementara forum ini bertujuan memperkukuh kerjasama serantau.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dunia kini berdepan pelbagai risiko dan ketidaktentuan yang perlu ditangani secara langsung oleh negara-negara, kata pemimpin tertinggi Vietnam To Lam pada Jumaat (29 Mei) semasa merasmikan forum pertahanan utama Asia, Dialog Shangri-La.

Dalam ucaptamanya, beliau berkata cabaran yang dihadapi dunia termasuk hakisan peraturan dan undang-undang antarabangsa, krisis model pembangunan seperti pertumbuhan yang semakin perlahan dan perubahan iklim, serta krisis kepercayaan antara negara.

"Tiga krisis yang dihadapi dunia hari ini bukanlah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan terpaksa kita terima," kata Encik Lam, sambil menggesa pengukuhan undang-undang antarabangsa, pewujudan pemacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, serta peningkatan dialog dan ketelusan.

Dilantik sebagai presiden pada bulan lalu selain memegang jawatan sebagai Ketua Parti Komunis, Encik Lam merupakan pemimpin Vietnam paling berkuasa dalam tempoh beberapa dekad.

Mandat bergandanya itu membolehkan beliau memainkan peranan diplomatik yang lebih menonjol.

Dialog Shangri-La, acara tahunan yang berlangsung di Singapura sehingga Ahad, menghimpunkan menteri pertahanan, jeneral, ketua perisikan, diplomat, penganalisis dan pengeluar senjata.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth serta rakan sejawatannya dari Australia, Britain, Perancis, Jepun dan negara-negara lain turut menyertai acara tersebut dalam kalangan hadirin.

Antara yang tidak menghadirkan diri ialah Menteri Pertahanan China Dong Jun. Ia merupakan tahun kedua berturut-turut di mana beliau tidak menyertai forum pertahanan tersebut.

Menteri Pertahanan Australia Richard Marles berkata, kehadiran China yang sederhana pada mesyuarat itu - dengan Beijing hanya menghantar para pakar dan sarjana daripada Tentera Pembebasan Rakyat - merupakan satu peluang yang terlepas bagi China untuk berinteraksi dengan negara-negara dari seluruh dunia.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita