Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman, Zaqy kacau periuk beriani, sokong usaha amal di Masjid Khalid

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Tharman, Zaqy kacau periuk beriani, sokong usaha amal di Masjid Khalid

Presiden Tharman menyiapkan beriani amal bagi menyokong Cabaran Presiden di Masjid Khalid pada Ahad (27 Sep). (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Diterbitkan : 27 Sep 2026 07:55PM
  • Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Zaqy Mohamad menyertai Beriani Amal RLAF di Masjid Khalid pada 27 September, dengan Presiden turut membantu menyediakan beriani sebelum hidangan disajikan kepada masyarakat, termasuk 34 individu memerlukan.
  • Inisiatif tahun kedua selepas COVID-19 ini meneruskan tradisi Masjid Khalid berkongsi beriani, menjual 800 kupon dan menyasarkan S$150,000 untuk Cabaran Presiden, manakala derma dibuka hingga 30 September dan pesanan diagihkan ke masjid seluruh Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Jarang-jarang kita dapat melihat seorang presiden mengacau periuk beriani. Namun inilah yang dilakukan Presiden Tharman Shanmugaratnam di Masjid Khalid pagi tadi (27 Sep), dengan dirinya siap menabur rempah ke dalam periuk beriani yang masih berasap.

Beliau bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad kemudian menyajikan hidangan itu di acara Beriani Amal kendalian Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) bersama masjid-masjid dan rakan masyarakat bagi menyokong Cabaran Presiden.

Usaha sebegini sememangnya berakar daripada tradisi Masjid Khalid berkongsi beriani untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Related article image
Presiden Tharman turut menyajikan beriani. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Semangat berkongsi itu diteruskan tahun ini menerusi penjualan 800 kupon serta kutipan derma bagi menyokong golongan memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

Lebih manis lagi, beriani yang sama turut disajikan kepada 34 individu memerlukan, yang dijemput khas untuk menjamu selera di Masjid Khalid.

Hidangan itu dimasak berasaskan resipi khas peninggalan mantan pengerusi masjid, Allahyarham Haji Alla'udin Mohamed.

"Inilah semangat ihsan yang kita mahu pupuk dalam masyarakat kita dan satu nilai yang kita harap dapat menunjukkan bahawa masyarakat kita dapat membantu tidak kira bangsa, agama ataupun latar belakang mereka," ulas Encik Zaqy ketika ditemui BERITA Mediacorp.

Ini merupakan tahun kedua inisiatif tersebut dihidupkan semula oleh RLAF selepas terhenti akibat pandemik COVID-19.

Bagi edisi kali ini, RLAF menyasarkan kutipan S$150,000 dengan hasilnya disalurkan kepada program-program di bawah Cabaran Presiden.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad, turut menyajikan beriani. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
"Bagi kami tiada sumbangan yang kecil ataupun besar. Yang penting adalah kita menunjukkan keihsanan dalam masyarakat kita dan bagaimana kita dapat membantu," kata Encik Zaqy lagi.

Penjualan kupon sudah pun tamat, tetapi orang ramai masih boleh menghulurkan sumbangan sehingga 30 September menerusi pautan ini https://bit.ly/pc-charity-biryani-2026.

Bungkusan beriani yang sudah ditempah pula akan diagihkan ke masjid-masjid di seluruh Singapura untuk diambil para pembeli.
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita