Presiden Tharman Shanmugaratnam mulakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam
Presiden Tharman Shanmugaratnam kini di Brunei bagi lawatan negaranya yang pertama ke luar negeri.
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam kini di Brunei bagi lawatan negaranya yang pertama ke luar negeri.
Lawatan tiga hari itu atas undangan Sultan Hassanal Bolkiah dan lawatan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Singapura dan Brunei.
Ketibaan Encik Tharman di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei petang Rabu (24 Jan) disambut para pegawai negara itu termasuk beberapa menteri, termasuk Menteri Kewangan Amin Liew.
Encik Tharman ditemani oleh isterinya, Cik Jane Ittogi Shanmugaratnam.
Beliau disertai Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman dan Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia Gan Siow Huang, serta anggota parlimen Mariam Jaafar dan Zhulkarnain Abdul Rahim.
Kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara adalah kukuh.
Pada tahun 2022, Singapura merupakan rakan dagangan ke-4 terbesar Brunei dalam barangan.
Brunei dan Singapura menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik pada 2024, yang membuka peluang kepada kedua-dua negara itu untuk melakar hubungan istimewa yang seterusnya.
Kedua-dua negara telah membina kerjasama yang mendalam selama beberapa dekad dalam pertahanan dan Perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA).
Semasa di Brunei, Encik Tharman akan menerima sambutan istiadat di Istana Nurul Iman, serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Sultan Hassanal Bolkiah.
Beliau juga diundang ke Majlis Jamuan Negara oleh Sultan Hassanal dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Di samping itu, beliau akan melawat anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menjalani latihan di sana dan bertemu masyarakat Singapura di Brunei dalam sebuah majlis resepsi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.