Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Tharman Shanmugaratnam buka puasa bersama 60 penerima zakat; MUIS agih zakat tambahan Ramadan S$2.6j

Lebih banyak isi rumah dan individu memerlukan akan menerima zakat Ramadan ini. Ini dengan pengagihan zakat tambahan sebanyak S$2.6 juta oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) kepada 8,600 penerima memerlukan di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Tharman Shanmugaratnam buka puasa bersama 60 penerima zakat; MUIS agih zakat tambahan Ramadan S$2.6j

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Lebih banyak isi rumah dan individu memerlukan akan menerima zakat Ramadan ini.

Ini dengan pengagihan zakat tambahan sebanyak S$2.6 juta oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) kepada 8,600 penerima memerlukan di negara ini.

Demikian didedahkan Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen di majlis buka puasa di Hab Islam Singapura, yang juga dihadiri tamu istimewa, Presiden Tharman Shanmugaratnam pada Jumaat (15 Mac).

"Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa, sebagai tambahan kepada bantuan zakat bulanan, MUIS akan memperuntukkan lebih $2.6 juta wang zakat yang dikumpul untuk memanfaatkan lebih daripada 8,600 penerima melalui agihan Ramadan tahunan kami. Matlamat pemberian khas Ramadan ini adalah untuk menyebarkan semangat memberi dalam bulan yang Ramadan penuh keberkatan dan meringankan beban keluarga apabila mereka menyambut Hari Raya," kata Encik Kadir.

Jumlah itu juga lebih tinggi berbanding agihan sebanyak S$2.2 juta yang diberikan kepada sekitar 7,200 penerima bantuan pada tahun lalu.

Sekitar 60 penerima bantuan zakat berpeluang berbuka puasa bersama Presiden Tharman.

Majlis berbuka puasa anjuran MUIS itu cukup simbolik kerana ia adalah yang pertama buat Presiden Tharman selaku pemimpin negara.

Selain beramah mesra dengan para penerima bantuan, Presiden Tharman turut berkongsi kata-kata semangat kepada mereka.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Majlis berbuka itu turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Menteri Kedua Pendidkan, Dr Maliki Osman dan Menteri Negara Pembangunan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam ucapannya, Encik Kadir berkata sumbangan daripada masyarakat Islam, menyokong banyak kumpulan yang memerlukan merangkumi individu, keluarga, dan pelajar melalui pelbagai program dan inisiatif. 

Ini termasuk peruntukkan sehingga S$1j yang diberikan kepada pelajar madrasah memerlukan di bawah kerjasama MUIS bersama Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Dalam pada itu, Encik Kadir turut memuji semangat kemasyarakatan yang dipamerkan di masjid-masjid, terutamanya semasa Ramadan.

Menerusi inisiatif SalamSG misalnya, pelbagai program telah dilakarkan demi mengutuhkan lagi semangat kebersamaan masyarakat.

"Inisiatif-inisiatif ini, seperti Cabaran Belia Ramadan untuk anak muda kita dan 'Night of Power' untuk semua, direka untuk meningkatkan pengalaman keseluruhan masyarakat di bulan Ramadan, mengukuhkan keimanan dan memupuk semangat kemasyarakatan secara keseluruhan. Tambahan pula, kami telah memperkasakan masjid-masjid kami untuk mencipta kandungan yang menarik melalui platform media sosial, memupuk hubungan yang lebih kukuh dan penglibatan yang bermakna dengan masyarakat," ujarnya.

"Sambil kami meningkatkan program dan perkhidmatan untuk untuk masyarakat, kami berharap bahawa usaha-usaha ini akan mengukuhkan keyakinan umat Islam di Singapura untuk berdaya tahan dalam iman dan bijak dalam menerapkan ilmu dan tunjuk ajar yang disampaikan para asatizah dan alim ulama tempatan yang dihormati," kata Encik Kadir.

(Gambar: Syawal Yusoff)

PRINSIP 'KELUARGA BESAR MUHAJIRIN' TIMBUL SIFAT KEBERSAMAAN DI KALANGAN JEMAAH; RELAWAN

Semangat kemasyarakatan itu juga jelas terserlah di program-program yang dilakarkan sebilangan masjid. 

Di Masjid Muhajirin misalnya, pelbagai program yang dianjurkan sempena Ramadan bertujuan memupuk sifat kebersamaan dalam kalangan para jemaah dari pelbagai latar belakang dan masyarakat berlainan kaum.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ianya bermula sebelum Ramadan lagi yang mana kita mengadakan program 'Yok Cuci Masjid' yang mana program tersebut kita mengajak jemaah-jemaah dan juga keluarga besar Masjid Muhajirin untuk sama sama kita berkumpul di masjid untuk kita melaksanakan persiapan bagi bulan Ramadan dan kita memberikan ataupun mengagihkan hamper-hamper di sekitar Toa Payoh ataupun perumahan di sekitar Toa Payoh. 

"Selain daripada itu, kita juga menguar-uarkan pengagihan bubur di Masjid Muhajirin iaitu selepas waktu Zuhur di Masjid Muhajirin. Bukan sahaja untuk penduduk Muslim, tetapi juga kita kita buka untuk yang bukan-Muslim juga," kata Pembantu Pengurus Masjid, Ustaz Muhammad Asyraaf Ahmad.

(Gambar: Fatyn Afiqah)

Setiap hari juga, sekitar 25 relawan menyingsing lengan untuk membantu menghidangkan juadah berbuka puasa kepada sekitar 200 jemaah.

Tugas sedemikian juga secara tidak langsung berjaya mengeratkan lagi hubungan para relawan.

"Kita gelar diri kami di masjid kita ini Keluarga Besar Muhajirin sebab ia sudah jadi sebahagian daripada keluarga kita dan yang teman-teman ini sudah menjadi keluarga kita. Saya ada emak angkat, saya ada nenek angkat dan ramai juga yang kakitangan-kakitangan atau anak-anak muda di sini panggil saya "Emak", "Cik Ju". Jadi kita akrab. Kita saling membantu saling memerlukan antara satu sama lain," kata Cik Juriyah Hassan, seorang relawan yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat di Masjid Muhajirin.

Masjid Muhajirin berharap untuk mencapai sasaran untuk mengumpul sebanyak S$90,000  untuk dana infak juadah berbuka puasanya pada Ramadan ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan