Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman rasmikan buku sempena dua abad Masjid Sultan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Daripada sebuah struktur kayu kepada bangunan megah yang diiktiraf sebagai sebuah Monumen Negara, sejarah dan pembangunan Masjid Sultan sepanjang dua abad dirakamkan dalam sebuah buku yang diterbitkan sempena ulang tahun ke-200 masjid itu.

Buku bertajuk 'The Grand Mosque of Singapore - Two Centuries in the History of Masjid Sultan' (Masjid Besar Singapura - Dua Abad dalam Sejarah Masjid Sultan) dirasmikan Presiden Tharman Shanmugaratnam petang tadi (21 Julai).
Buku ini antara lain merakam kisah-kisah yang belum pernah diceritakan, naratif sejarah dan dokumen-dokumen era penjajahan yang belum pernah diterbitkan. (Gambar: Nurhelmy Hakim)

Pelancarannya turut disaksikan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan masjid dan MUIS.

"Ini satu penghargaan yang sangat bermakna dan menunjukkan betapa kayanya sejarah masjid ini. Buku ini bukan sahaja merakam sejarahnya, tetapi juga menghimpunkan kenangan dan semangat masyarakat yang telah membesar dan berkembang bersama Masjid Sultan," kata Dr Faishal.

"Detik ini mengingatkan kita tentang betapa besar dan kayanya warisan Masjid Sultan dan betapa mendalamnya akar masjid ini dalam masyarakat dan negara kita, benar-benar sebuah lambang warisan dan agama Islam merentasi generasi," tambahnya.

MASJID SULTAN MULA DIBINA 1819, BUKAN 1824?

Buku itu antara lain merakam kisah-kisah yang belum pernah diceritakan, naratif sejarah dan dokumen-dokumen era penjajahan yang belum pernah diterbitkan.

Sebelum majlis pelancaran, Presiden Tharman dibawa ke beberapa kawasan masjid dan beberapa pegawai masjid berkongsi tentang evolusi seni bina dan sejarah masjid itu. (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Pakar-pakar pelbagai bidang seperti ahli sejarah, wartawan, pendidik dan pemimpin agama dijemput untuk berkongsi kepakaran untuk menceritakan kisah Masjid Sultan.

Antara yang menyumbang kepada penerbitan buku ini ialah Profesor Madya Emeritus Hadijah Rahmat, Dr Kartini Anwar, Dr Imran Tajudeen, Dr Azhar Ibrahim, Dr Norshahril Saat, Timbalan Mufti Dr Hannan Hassan dan Dr Qusairy Taha.

Ada juga yang mendedahkan bahawa warisan kaya masjid itu sebenarnya sudah bermula lebih awal.

Kajian mendapati Sultan Hussain Shah telah mengarahkan pembangunan struktur kayu asal masjid itu pada 1819.

Ini bermakna masjid itu sudah mula dibangunkan sejak 1819 dan bukannya pada 1824 seperti dipercayai ramai sebelum ini.
 
Logo baharu Masjid Sultan memaparkan tahun pembangunannya yang dikemas kini iaitu tahun 1819. (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Dengan penemuan itu, Masjid Sultan melancarkan logo baharunya yang memaparkan tahun pembangunannya yang dikemas kini.

Buku itu juga memaparkan evolusi seni bina masjid itu serta peranan utamanya dalam aspek keagamaan, sosial dan budaya masyarakat Melayu/Islam di daerah Kampong Gelam.

Menurut Masjid Sultan, penerbitan buku itu bukan sahaja meraikan legasi para pemimpin dan pemegang amanah masjid itu yang berwawasan.

Bahkan, ia mendokumentasikan bagaimana masjid itu mempunyai model kepimpinan masyarakat yang mampan, misalnya menerusi pengurusan kewangan dan harta wakafnya.

Penerbitan buku itu turut disokong Lembaga Warisan Negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita