Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman lulus Belanjawan 2026, beri amaran 'ketidakstabilan politik global lebih panjang'

Presiden Tharman Shanmugaratnam mengumumkan beliau sudah pun meluluskan Belanjawan 2026, sambil memberi amaran tentang 'ketidakstabilan politik global yang lebih panjang'.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Mar 2026 07:52PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 12:24AM
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam mengumumkan beliau sudah pun meluluskan Belanjawan 2026, sambil memberi amaran tentang 'ketidakstabilan politik global yang lebih panjang'.

Dalam satu catatan di Facebook pada Rabu (18 Mac), Encik Tharman berkata keadaan dunia kini semakin mencabar, khususnya dengan konflik yang berlarutan di Timur Tengah serta penutupan Selat Hormuz yang berpotensi menjejaskan ekonomi global.

“Renungi tiga minggu kebelakangan ini dalam politik global, dan betapa dunia semakin bergolak,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Encik Tharman turut memberi amaran bahawa konflik yang berpanjangan boleh mencetuskan kemelesetan ekonomi dan meningkatkan kadar inflasi di seluruh dunia.

“Semakin lama perang di Timur Tengah berlarutan dan Selat Hormuz kekal ditutup, semakin tinggi risiko berlaku kemelesetan ekonomi besar-besaran serta inflasi yang lebih tinggi di seluruh dunia,” kata beliau.

KETIDAKSTABILAN POLITIK GLOBAL SEBAGAI CABARAN UTAMA

Presiden Tharman menarik perhatian bahawa cabaran paling besar uang dihadapi bukan sekadar isu ekonomi, tetapi ketidakstabilan politik global yang berpanjangan.

“Kita sedang berdepan dengan tempoh ketidakstabilan politik global yang panjang,” kata beliau, sambil menambah bahawa dunia kini menyaksikan peningkatan konflik bersenjata serta pengabaian undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan dunia “lebih rapuh” berbanding sebelum ini.

'PENAMPAN STRATEGIK' SG

Di tengah-tengah ketidaktentuan tersebut, Encik Tharman berkata Singapura mempunyai beberapa “penampan strategik” untuk menghadapi krisis.

Beliau menekankan bahawa rizab negara yang dibina sejak sekian lama akan membantu negara mengharungi cabaran-cabaran besar, di samping belanjawan negara yang membolehkan pelaburan berterusan dalam pembangunan kemahiran dan keupayaan.

“Kita telah membina rizab yang akan membantu kita menangani krisis besar, seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini,” kata Encik Tharman.

Beliau turut menambah bahawa kepercayaan antarabangsa terhadap Singapura juga membuka peluang baharu, termasuk usaha mempelbagaikan perdagangan dan sumber tenaga.

Pada masa yang sama, Encik Tharman turut menggesa negara agar terus berpegang kepada “cara Singapura” dalam menghadapi cabaran global.

“Cara Singapura harus dikekalkan. Sentiasa bersedia untuk menghadapi dunia yang mungkin tidak seperti yang kita harapkan.

"Melabur demi masa depan setiap rakyat Singapura. Sumbang kepada kebaikan global. Dan pertahankan apa yang kita percayai – satu aturan dunia yang adil, terbuka dan berperikemanusiaan,” tegas beliau.

Encik Tharman juga memberi amaran kesan konflik tidak terhad kepada harga tenaga sahaja, malah turut menjejaskan bekalan baja, makanan serta komoditi penting lain, yang boleh memberi tekanan lanjut kepada ekonomi global.
Sumber : Sumber Web/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita