Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman lawat India, rai ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik SG-India

Presiden Tharman Shanmugaratnam akan melawat India, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam akan melawat India, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Lawatan rasmi selama lima hari yang bermula pada 14 Januari itu, adalah atas undangan Presiden India Droupadi Murmu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan media pada Isnin (13 Jan).

Encik Tharman akan melawat New Delhi dari 15 hingga 16 Jan dan Odisha dari 17 hingga 18 Jan.

Di New Delhi, Encik Tharman akan diberi sambutan penuh istiadat di istana Presiden, Rashtrapati Bhavan, di mana beliau akan menghadiri jamuan makan yang dihoskan oleh Encik Murmu.

Encik Tharman juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Narendra Modi serta beberapa menteri lain sebelum mengunjungi Raj Ghat untuk memberi penghormatan kepada Mahatma Gandhi.

Semasa lawatannya ke ibu kota India itu,juga Encik Tharman akan bertemu dengan beberapa rakyat Singapura di New Delhi dalam satu majlis resepsi bagi menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura dengan India, serta ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60.

Beliau juga dijadual bertemu dengan sekumpulan ahli pemikir India dalam satu sesi meja bulat yang tertutup.

Selain itu, Encik Tharman akan menyampaikan Anugerah Warga Kehormat kepada Encik Tarun Das, iaitu bekas ketua pengarah Konfederasi Industri India.

Encik Tharman kemudian akan ke Odisha di mana beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar wilayah itu, Mohan Charan Majhi dan diberi taklimat mengenai strategi dan peluang ekonomi di Odisha.

Encik Tharman juga akan menghadiri jamuan makan malam rasmi yang dihoskan oleh Encik Majhi.

Di Odisha, Encik Tharman akan mengunjungi Pusat Kemahiran Sedunia, yang dibangunkan oleh Perkhidmatan Pendidikan Institut Pendidikan Teknikal Singapura (ITEES) dengan pembiayaan dari Bank Pembangunan Asia dan sebuah kilang pengeluaran vaksin yang dikendalikan oleh Bharat Biotech.

Encik Tharman akan ditemani oleh isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan Chee Hong Tat, Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Laar merangkap Pembangunan Negara Sim Ann dan Anggota Parlimen Lim Biow Chuan, Joan Pereira dan Wan Rizal.

Para pegawai dari Pejabat Presiden, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, MFA dan Enterprise Singapore turut mengiringi Encik Tharman dalam lawatan itu.

Sebuah delegasi perniagaan juga akan menyertai Encik Tharman semasa di Odisha bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan kemahiran dan ekonomi yang lain, menurut MFA.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita