Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman komited perkukuh negara sebagai masyarakat majmuk inklusif

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Tharman komited perkukuh negara sebagai masyarakat majmuk inklusif

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 14 Sep 2023 11:22PM
SINGAPURA: Presiden Tharman berkata beliau komited untuk bekerjasama dengan pemerintah dan kumpulan kemasyarakatan untuk terus mengukuhkan Singapura sebagai sebuah masyarakat pelbagai bangsa yang inklusif.

Dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah di Istana pada Khamis ( 14 Sep) Presiden Tharman mengulangi harapannya untuk menyokong usaha dan inisiatif yang mengukuhkan rasa hormat bagi semua warga Singapura tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, usaha merapatkan perbezaan antara kaum dan agama, dan membina kepercayaan dan persefahaman antara masyarakat memerlukan kerja keras dan telah mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

Beliau menggesa rakyat Singapura untuk terus membina ikatan yang lebih erat, bermula di kawasan kejiranan mereka dan di ruang kongsi lain seperti sekolah dan tempat kerja.

"Kita mesti terus mengorak langkah ke hadapan, untuk lebih mendalami dan meningkatkan daya tahan kepelbagaian kaum kita, dan jangan biarkan ia rapuh. Kita mesti terus mengukuhkan pengalaman membesar bersama, dan hubungan serta ikatan emosi antara satu sama lain," kata beliau.

Beliau berkata beliau tetap komited untuk menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan adil dari segi sosial.

"Dasar Pemerintah berubah dengan ketara untuk membantu kami mencapai matlamat ini, dan ia kekal penting. Tetapi untuk membina masyarakat yang benar-benar inklusif, kita memerlukan sesuatu yang lebih, yang melibatkan kita semua. Kita mesti membina dengan talian persaudaraan dan rasa hormat yang kukuh, di mana kita mempunyai empati dengan semua warganegara, menampilkan yang terbaik dalam diri masing-masing, dan merasakan bahawa kita hanya benar-benar berjaya apabila kita berjaya bersama."

Memberikan reaksinya kepada ucapan itu, Pengurus Besar badan amal Tasek Jurong Cik Kamsinah Sadar berkata: "Sebagai seorang daripada sektor perkhidmatan sosial, saya bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk menyokong inisiatif kecil di lapangan. Khususnya, dalam semua kumpulan yang kurang bernasib baik, terdapat keperluan untuk menyokong individu yang kurang bernasib baik secara peribadi, membina perhubungan yang tidak menghakimi dan berdasarkan rasa hormat dan kepercayaan.

"Hanya apabila itu diwujudkan, barulah kita boleh melihat bagaimana individu ini dapat dipertingkatkan, berdasarkan pemahaman yang mantap tentang kekuatan, pemikiran, motivasi serta ketakutan mereka. Pembinaan hubungan ini adalah kunci kepada pendekatan Encik Tharman, kunci kejayaannya di lapangan," tambah beliau.

Beliau memberikan beberapa contoh bagaimana perkara ini boleh diwujudkan.

Cik Kamsinah berkata perlu ada sokongan daripada pelbagai peringkat masyarakat; sokongan majikan
yang menawarkan fleksibiliti kepada pekerja untuk meneruskan kerja sukarela yang bermakna; ibu bapa yang menggalakkan pemikiran sivik dan pendedahan kepada kerja sukarela sejak muda; dan membenarkan para pelajar memulakan projek jangka panjang yang membolehkan mereka meneroka dan membina hubungan dan perkongsian untuk tempoh yang lebih lama.

Rakan kongsi masyarakat boleh bekerjasama dan menyokong idea baharu dan memperkemaskannya bersama-sama untuk memenuhi keperluan yang tidak dipenuhi.

Mengulas tentang gesaan Encik Tharman untuk membangunkan lebih pihak berkepentingan dan masyarakat sivil yang teguh untuk memainkan peranan dalam masyarakat secara aktif, Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad berkata: "Dengan era baharu dan sekitaran yang mencabar kini, daripada segi cuaca ekstrem, amalan ekstremisme agama dan etnik yang meluas, bantuan semua anggota masyarakat diperlukan untuk memastikan keamanan, keharmonian, ihsan dan rasa hormat dikekalkan dan dipertingkatkan untuk manfaat seluruh umat manusia, dan juga persekitaran.

"Kami amat berharap dan yakin dengan pendedahan, pengalaman dan semangat aktivisme beliau. Presiden Tharman boleh membantu menyokong inisiatif sedia ada dan baharu ke arah perpaduan dan kerjasama sosial yang lebih baik," kata beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita