Presiden Tharman di Kaherah: Teroka Peluang Kerjasama Baharu Dua Hala, Hargai Peranan Mahasiswa Universiti Al-Azhar
KAHERAH: Singapura dan Mesir sedang meneroka peluang baharu untuk memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, infrastruktur, dialog antara agama dan bantuan kemanusiaan.
Demikian kata Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam ucapannya semasa majlis resepsi bertemu rakyat Singapura di Kaherah, Mesir, pada Jumaat malam (19 Sep), sebagai sebahagian atur cara lawatan negaranya selama empat hari.
Presiden Tharman menggambarkan kedua-dua negara sebagai rakan maritim semula jadi, dihubungkan melalui Terusan Suez dan Selat Singapura – meskipun berbeza saiz.
"Kita saling melengkapi dalam cara yang membolehkan kita untuk mencapai lebih banyak bersama berbanding jika dilakukan sendiri," kata Encik Tharman.
"Kita juga telah membina banyak kerjasama merentasi banyak bidang - dari kerjasama perdagangan dan ekonomi kepada pendidikan dan hubungan antara masyarakat serta kerjasama infrastruktur," kata Encik Tharman.
"Saya menantikan pertemuan dengan Presiden Al Sisi dan Perdana Menteri Mostafa Madbouly, untuk membincangkan cara baharu memperkukuh dan memperluas kerjasama kita." tambah Presiden Tharman lagi.
PRESIDEN THARMAN BERI PENGHARGAAN KEPADA MAHASISWA UNIVERSITI AL-AZHAR DARI SG
Majlis resepsi di dewan Hotel Four Seasons Nile Plaza itu dihadiri lebih 100 warga Singapura yang menetap dan belajar di Mesir.
Antara mereka adalah lebih 60 mahasiswa Universiti Al-Azhar dari Singapura.
Jumlah itu juga sekitar sepertiga daripada keseluruhan mahasiswa Singapura di universiti itu sekarang ini.
Dalam ucapannya, Presiden Tharman turut menekankan peranan besar yang dimainkan Universiti Al-Azhar untuk bertahun-tahun lamanya kepada masyarakat Singapura.
“Universiti Al-Azhar bukan sahaja menjadi tiang ilmu Islam, tetapi juga mercu tanda toleransi, dialog, dan kewujudan bersama secara aman. Ramai daripada anda di sini ialah pelajar Al-Azhar, yang sememangnya telah melatih setiap seorang Mufti Singapura.”
“Banyak yang boleh kita pelajari antara satu sama lain — dalam memahami kepelbagaian agama, dan bagaimana kita memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk berbilang agama,” tambah beliau lagi.
Dalam ucapannya, Presiden Tharman turut menzahirkan penghargaan kepada golongan tersebut yang menimba perspektif dan ilmu di Mesir dan kembali ke Singapura untuk memperkayakan wacana agama dan masyarakat di tanah air.
“Selamilah kehidupan masyarakat tempatan dan kenalilah orang daripada latar belakang serta tempat yang berbeza. Nikmatilah kekayaan budaya Mesir, dan juga keindahan kehidupan seharian yang penuh warna-warni di Kaherah,” ujar Presiden Tharman.
Graduan Universiti Al-Azhar, Danniesh Asyraff Mohsan, 23 tahun berkata: “Antara perkara yang Presiden Tharman tekankan kepada kami, beliau memberikan kami nasihat untuk kami gunakan peluang yang kami ada semasa menuntut ilmu di Mesir, meluaskan lagi ilmu yang boleh kami dapat di sini dari pelbagai sudut.”
“Beliau memberi contoh untuk membaca kitab, karangan para penulis adab di sini yang terkenal. Beliau menekankan di sini ramai ulama dan guru yang ada banyak karangan mereka, ada banyak buku-buku mereka di sini,” tambah beliau lagi.
Juga graduan universiti itu, Siti Nur Wardyna Amirruddin pula berkata: “Beliau juga menekankan sudut di mana Universiti Al-Azhar Al-Sharif yang dikatakan para pelajarnya mempunyai prestasi baik dan kami rasa bangga dengan itu. Saya rasa ia satu peluang untuk terus membanggakan Singapura sebagai pelajar Al-Azhar Al-Sharif.”
Presiden Tharman melakukan lawatan ke Mesir selama empat hari hingga Isnin depan (22 Sep).
Lawatan tersebut atas undangan Presiden Abdel Fattah Al Sisi dan bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura dan Mesir tahun depan.
Presiden Tharman ditemani isterinya, Puan Jane Ittogi, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli, Menter Negara Kanan Pembangunan Digital dan Penerangan merangkap Kesihatan, Tan Kiat How, Anggota Parlimen Hazlina Abdul Halim dan Ng Shi Xuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.