Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman buka puasa bersama penerima zakat; MUIS agih zakat tambahan Ramadan S$3.08j kepada 8,200 penerima

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menyediakan pengagihan tambahan wang zakat sebanyak S$3.08 juta kepada 8,200 penerima yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.

Antara penerima bantuan tersebut adalah 1,350 penuntut pra-universiti dari keluarga berpendapatan rendah.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen, di majlis berbuka puasa di Masjid Maarof, yang turut dihadiri oleh tamu istimewa, Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi pada Ahad (9 Mac).

Pengagihan khas Ramadan ini juga menangani hidangan dan bekalan makanan kepada keluarga melalui sokongan Fidyah. Ia dilakukan dengan kerjasama masjid-masjid, di mana kami menganjurkan pelbagai program, dari penghantaran makanan kepada penerima zakat yang tidak bergerak, hingga menyediakan barang runcit untuk keluarga yang memerlukan," kata Encik Kadir.

Encik Kadir berkata, melalui sumbangan zakat yang dermawan daripada masyarakat, MUIS telah dapat menyokong golongan miskin dan memerlukan, menyediakan bantuan untuk pelajar, serta mengukuhkan masjid dan madrasah kita.

Pada tahun lalu, MUIS telah menyalurkan jumlah dana yang tertinggi dalam sejarah, membantu lebih banyak individu dan keluarga berpendapatan rendah.

Pada 2024, kira-kira S$23 juta telah disalurkan untuk menyokong lebih daripada 6,000 isi rumah berpendapatan rendah melalui bantuan zakat.

Sokongan itu, menurut beliau, mencerminkan komitmen masyarakat kita untuk saling menjaga dan menyokong antara satu sama lain.

SOKONGAN RIQAB DINAIKKAN

Encik Kadir juga berkata bahawa sokongan Riqab telah dinaikkan daripada S$600,000 kepada S$1.2 juta.

Jumlah sokongan yang lebih besar itu memberi bantuan kepada lebih 8,500 kanak-kanak, khususnya yang memerlukan sokongan untuk meneruskan pelajaran, terutamanya penerima bantuan Zakat.

"Untuk keluarga berpendapatan rendah, menangani perbelanjaan tambahan pada akhir tahun sangat mencabar. Inilah sebabnya MUIS menyediakan pengagihan akhir tahun khas untuk meringankan beban kewangan keluarga-keluarga ini," ujar Encik Kadir.

Beliau juga menjelaskan bahawa peningkatan pada jumlah sokongan Riqab itu memastikan kanak-kanak memulakan penggal sekolah dengan sumber yang diperlukan tanpa menambah beban kewangan yang tidak diingini oleh keluarga mereka.

"Peningkatan pada jumlah sokongan Riqab akan memastikan kanak-kanak ini memulakan penggal sekolah dengan sumber yang diperlukan tanpa menambah beban kewangan yang tidak diingini oleh keluarga mereka. Ia juga seiring dengan misi MUIS untuk menyediakan sokongan komprehensif kepada keluarga berpendapatan rendah, dan memberi tumpuan kepada bantuan jangka pendek dan pemerkasaan jangka panjang," tambah beliau lagi.

Majlis Buka Puasa yang diadakan di Masjid Maarof itu dihadiri sekitar 1,000 jemaah.

Selain itu, sekitar 60 tetamu undangan termasuk para pemimpin masyarakat dan agama, ketua-ketua masjid serta rakan-rakan kongsi masyarakat turut menyertai majlis iftar itu.

Sebelum majlis iftar itu, Presiden Tharman dan Puan Ittogi, serta Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli dibawa melawat Masjid Maarof.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita