Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman bertemu lebih 150 rakyat SG di Brussels

Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata negara kecil seperti Singapura memainkan peranan penting dalam menyegarkan semula serta menegakkan peraturan antarabangsa tatkala ia menjadi kurang teratur.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Mar 2025 08:16PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 09:34PM
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata negara kecil seperti Singapura memainkan peranan penting dalam menyegarkan semula serta menegakkan peraturan antarabangsa tatkala ia menjadi kurang teratur.

Beliau berkata demikian dalam satu pertemuan bersama lebih 150 rakyat Singapura di Brussels semasa melakukan lawatan negara ke Belgium dan Luxembourg.

Encik Tharman turut menggariskan kepentingan untuk berbuat baik dan menyumbang kepada masyarakat, tidak kira di mana seseorang berada.

Beliau juga menekankan betapa penting bagi Singapura untuk terus membina hubungan di peringkat sejagat dan kekal sebagai rakan yang boleh diyakini.

Kata Encik Tharman, "Kita mungkin kecil tetapi apabila kita berganding bahu dan apabila kita bekerjasama dengan negara-negara lebih besar serta cuba untuk mencari titik persamaan dan menjalin muafakat, kita memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan berbilang hala terus hidup, menyemaknya, menyesuaikannya bagi masa baharu."

"Sesungguhnya, memastikan bahawa ia tidak akan pernah menjadi sebuah dunia di mana yang berkuasa selalu benar dan hanya yang paling berkuasa menentukan masa depan dunia," tambah beliau.

Ramai warga Singapura di Belgium tidak melepaskan peluang untuk menghadiri acara tersebut, selain menjamu juadah Singapura yang dihidangkan.

Salah seorang daripada mereka termasuk Cik Maria Mohd Iqbal yang merupakan seorang pelajar di Brussels.

"Saya tengok gambar-gambar di media sosial, kawan-kawan saya pergi ke bazar, makan makanan, pergi masjid untuk bertarawih sama-sama, rasanya semangat kemasyarakatan di sini kurang dan itu sesuatu yang saya rindukan dari Singapura," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita