Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman belanja lebih S$700,000 bagi kempen pilihan raya, tertinggi dalam kalangan calon

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Oct 2023 03:42PM Dikemas Kini : 21 Oct 2023 07:49AM
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam membelanjakan S$738,717 bagi kempennya semasa Pilihan Raya Presiden, menurut pengisytiharan calon yang didedahkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Jumaat (20 Okt).

Perbelanjaan pilihan raya beliau adalah yang paling tinggi dalam kalangan tiga calon tersebut. Malah, ia lebih seganda berbanding perbelanjaan Encik Ng Kok Song, yang membelanjakan S$312,131, dan lebih 10 kali ganda berbanding Encik Tan Kin Lian, yang membelanjakan S$71,366.

Setiap calon dibenarkan untuk membelanjakan sehingga S$812,822.10 bagi Pilihan Raya Presiden itu.

Ini adalah berdasarkan garis panduan ELD bahawa had perbelanjaan tersebut adalah S$600,000 atau 30 sen, bagi setiap pengundi yang berdaftar, yang mana lebih tinggi. Seramai 2,709,407 keluar mengundi bagi Pilihan Raya Presiden itu.

Encik Tharman, mantan Menteri Kanan, memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya yang berlangsung pada 1 September itu, dengan meraih 70.4 peratus undi. Encik Ng Kok Song dan Encik Tan Kin Lian masing-masing menerima 15.72 peratus dan 13.88 peratus undi.

BAGAIMANA WANG DIBELANJAKAN

Perbelanjaan tertinggi Encik Tharman adalah bagi tujuan pengiklanan pilihan raya bukan online, yang mencecah jumlah S$481,226. Ini sebahagian besarnya adalah bagi pencetakan dan pemasangan sepanduk dan poster, serta pencetakan dan pengeposan risalah.

Perbelanjaan tertinggi seterusnya adalah S$141,865 bagi pengiklanan pilihan raya online, yang merangkumi perbelanjaan di media sosial, laman kempennya dan wawancara dengan para belia dan pemimpin akar umbi.

Perbelanjaan Encik Tharman juga termasuk S$300 yang dibiayai ELD bagi menurunkan enam sepanduk kempen, bendera atau poster yang melanggar peraturan pilihan raya.

Lima daripada bahan itu dipaparkan dalam jarak 50 meter dari stesen mengundi, dan satu pula dipamerkan di atas pokok tanpa persetujuan Lembaga Taman Negara (NParks). Ia diturunkan pada Hari Bertenang pada 31 Ogos dan Hari Mengundi pada 1 Sep.

Meskipun tiada perhimpunan awam diadakan tahun ini, Encik Tharman mengadakan mesyuarat pilihan raya di stesen janakuasa Pasir Panjang, yang menelan belanja sebanyak S$8,640 bagi menyewa tempat tersebut.

Pengiklanan pilihan raya juga membentuk sebahagian besar perbelanjaan bagi kedua-dua calon lain itu.

Encik Tan membelanjakan hampir S$70,000 bagi pengiklanan bukan online, tetapi hanya S$20 untuk pengiklanan online. Sebahagian besar wang tersebut disalurkan bagi mencetak poster dan membayar tenaga kerja serta pengangkutan untuk memasangnya.

Perbelanjaan keseluruhannya setara dengan perbelanjaan semasa kali pertama berkempen bagi Pilihan Raya Presiden 2011, apabila beliau membelanjakan hampir S$71,000, menurut Mediacorp.

Encik Ng merupakan satu-satunya calon yang memperuntukkan lebih banyak wang bagi pengiklanan online. Beliau membelanjakan wang sejumlah S$280,800 bagi tujuan itu berbanding lebih S$1,000 bagi pengiklanan bukan online.

Encik Ng menarik perhatian bahawa beliau tidak akan memasang sepanduk dan poster kerana beliau kekurangan sumber tenaga manusia dan maju bersifat lebih mesra alam ketika berkempen.

SIAPA YANG BERI SUMBANGAN

Kempen Encik Tharman menerima sumbangan S$800,000 daripada tujuh penderma:

- S$200,000 daripada Encik Koh Poh Tiong, pengarah lembaga di Fraser and Neave

- S$200,000 daripada Encik Wong Ngit Liong, pengerusi eksekutif Venture Group

- S$100,000 daripada Encik Yong Ming Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Dymon Asia Capital

- S$100,000 daripada Encik Wong Kok Hoi, pengasas dan ketua pegawai pelaburan APS Asset Management

- S$100,000 daripada Cik Michelle Liem Mei Fung, pengarah lembaga di Tuan Sing Holdings

- S$50,000 daripada Encik Loh Boon Chye, Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Exchange

- S$50,000 daripada Encik Hsieh Fu Hua, pengarah lembaga di GIC

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap pasukan Encik Tharman berkata lebihan wang derma itu akan dipulangkan kepada para penderma.

Encik Tan menerima sumbangan lebih S$41,800 daripada sekitar 120 individu.

Encik Ng pula tidak mengisytiharkan sebarang sumbangan. Beliau sebelum ini menegaskan bahawa beliau menggunakan wang simpanannya bagi menampung kempennya dan tidak akan menerima sebarang sumbangan.

Perbelanjaan Encik Tharman bahkan, adalah yang paling tinggi dalam kalangan pemenang bagi tiga Pilihan Raya Presiden yang lalu.

Cik Halimah Yacob membelanjakan S$220,875 untuk kempennya, meskipun beliau akan menang tanpa bertanding dalam pilihan raya yang dikhaskan pada 2017.

Dr Tony Tan pula membelanjakan kira-kira S$503,000 dalam pilihan raya 2011, lapor Mediacorp.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita