Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman bakal lakukan lawatan ke Amerika; akan bertemu ketua PBB Guterres

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Tharman bakal lakukan lawatan ke Amerika; akan bertemu ketua PBB Guterres

Gambar fail: CNA/Syamil Sapari

Diterbitkan : 26 Nov 2023 04:42PM
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam akan melakukan lawatan kerja ke New York dari 27 Nov hingga 4 Dis.

Demikian menurut pejabatnya pada Ahad (26 Nov).

Semasa lawatannya itu, beliau akan menyampaikan ceramah dan menyertai dialog di Universiti Columbia sebagai sebahagian daripada siri Forum Pemimpin Sedunia.

Encik Tharman juga akan bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, serta beberapa pemimpin sektor kewangan.

Beliau juga akan mempengerusi Lembaga Penasihat Laporan Pembangunan Manusia PBB dan sebuah sidang pleno Kumpulan 30 (G30), dengan Bank Rizab Persekutuan New York sebagai tuan rumah. G30 merupakan majlis global bebas bagi pemimpin ekonomi dan kewangan.

Presiden tersebut juga akan bertemu dengan sekumpulan warga Singapura yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Para pegawai daripada Pejabat Presiden akan mengiringi Encik Tharman dalam lawatan tersebut.

Sepanjang Encik Tharman berada di New York, pengerusi Majlis Penasihat Presiden, Encik Eddie Teo, akan menggalas tugas Pejabat Presiden.

Encik Tharman mengangkat sumpah jawatan Presiden ke-9 di Istana pada 14 Sep setelah meraih kemenangan besar dalam pilihan raya presiden itu. Beliau memperolehi lebih 70 peratus undi.

Awal minggu ini, parlimen meluluskan satu rangka kerja undang-undang bagi Presiden dan menteri-menteri menerima pelantikan dalam pertubuhan antarabangsa dalam kedudukan peribadi mereka, jika ia demi memajukan kepentingan Singapura.
Encik Tharman, juga mantan Menteri Kanan, telah meletak jawatan daripada semua jawatan dalam pemerintah dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertanding dalam pilihan raya presiden, yang diadakan pada 1 Sep.

Beliau telah menjadi pengerusi lembaga pemegang amanah G30 sejak 2017.

Encik Tharman juga duduk dalam lembaga pemegang amanah Forum Ekonomi Dunia.

Beliau juga adalah pengerusi bersama Suruhanjaya Global mengenai Ekonomi Air yang membuat cadangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan forum antarabangsa lain, serta lembaga penasihat Laporan Pembangunan Manusia PBB.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita