Skip to main content

Singapura

Presiden Tharman adakan lawatan negara pertama ke Mexico

Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam akan membuat lawatan negara ke Mexico dari Ahad (30 Nov) hingga 3 Disember, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu.
Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Tharman adakan lawatan negara pertama ke Mexico
Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam (tengah) pada 5 September 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam akan membuat lawatan negara ke Mexico dari Ahad (30 Nov) hingga 3 Disember, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu.

Lawatan itu, yang merupakan lawatan pertama Encik Tharman ke Amerika Latin, diadakan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Singapura dan Mexico.

Encik Tharman akan disambut dengan upacara rasmi di Istana Negara di Mexico City dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, menurut MFA.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua pemerintah Mexico City Clara Brugada dan Presiden Senat Mexico Laura Itzel Castillo Juarez, serta para senator dan gabenor dari pelbagai negeri Mexico, dan pemimpin perniagaan.

Encik Tharman juga akan meletakkan kalungan bunga di sebuah tugu yang dikenali sebagai Monument to the Heroic Cadets, yang memperingati enam kadet tentera remaja yang terkorban semasa Perang Mexico-Amerika.

Semasa lawatannya, Encik Tharman juga akan merasmikan pembukaan Forum Perniagaan Mexico-Singapura dan pembukaan sebuah pameran yang dianjurkan dengan kerjasama Muzium Tamadun Asia dan Galeri Nasional Singapura.

Pameran tersebut, bertajuk The Acapulco - Manila Galleon: We Are the Pacific, a World Born of the Tropics, akan mempamerkan sekitar 80 karya, termasuk karya daripada Koleksi Nasional Singapura dan artifak dari Mexico.

Encik Tharman akan diiringi isterinya, Cik Jane Ittogi, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Negara Kanan Pendidikan David Neo, serta Menteri Negara Pembangunan Negara dan Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan.

Anggota Parlimen Ang Wei Neng dan Mariam Jaafar, pegawai-pegawai dari Pejabat Presiden, MFA, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, dan Enterprise Singapore, serta delegasi perniagaan yang diketuai oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Persekutuan Pengilangan Singapura, juga akan menyertai lawatan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita