Presiden SNEF letak jawatan; 'kelemahan prosedur tadbir urus' disemak
SINGAPURA: Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) Robert Yap meletak jawatan selepas persekutuan itu mengatakan pihaknya dimaklumkan mengenai adanya "kelemahan prosedur tadbir urus" semasa satu semakan dalaman yang biasa dilakukan.
Dalam kenyataannya pada Selasa (11 Jun), SNEF mengatakan majlis tersebut "segera mendapatkan khidmat konsultan luar untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap proses dalaman kami".
Persekutuan itu menambah bahawa semakan bebas itu sedang dijalankan dan ia tidak maklum tentang sebarang kesan kewangan yang timbul akibat kelemahan tersebut.
"SNEF memandang serius tanggungjawabnya dalam mendukung tahap tadbir urus yang diharapkan oleh semua pihak berkepentingan kami dan akan menyelia semakan semula bebas ini."
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan sebab di sebalik peletakan jawatan Dr Yap, yang juga melepaskan peranannya sebagai seorang anggota majlis. Beliau sudah memimpin SNEF sejak 10 tahun yang lalu.
Mediacorp sudah meminta maklumat lanjut mengenai peletakan jawatan tersebut, termasuk butiran kelemahan tadbir urus berkenaan.
Dr Yap ialah pengerusi eksekutif kumpulan syarikat rantaian bekalan dan logistik YCH Group, dan menyertai majlis SNEF pada Jun 2013 sebelum menjadi presiden pada September tahun berikutnya.
Beliau juga merupakan presiden Gabungan Majikan ASEAN, dan pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura di Singapura.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota SNEF dan pihak berkepentingan tiga pihak SNEF atas sokongan mereka selama bertahun-tahun lamanya. Saya bekerja keras untuk memperjuangkan kepentingan anggota dan perikatan tiga pihak di Singapura. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi saya sudah melakukan sebaik mungkin. Sudah tiba masanya untuk menyerahkan tampuk kepimpinan," ujar Dr Yap.
"Saya faham keputusan majlis itu untuk mendapatkan khidmat konsultan luar dalam menjalankan semakan bebas. Ia selalunya baik untuk menyemak semula prosedur tadbir urus agar pertubuhan boleh terus diperbaiki dan mengambil iktibar daripada sebarang kelemahan dalam menguruskan pertubuhan.
SNEF mewakili kepentingan perniagaan-perniagaan di Singapura. Menurutnya, ia dianggotai lebih 3,300 syarikat dengan gabungan tenaga kerja lebih 800,000 orang.
MOM AKAN PUTUSKAN LANGKAH SETERUSNYA SELEPAS SEMAKAN
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan bahawa pihaknya telah dimaklumkan oleh SNEF mengenai peletakan jawatan Dr Yap dan kesatuan tersebut sedang menyemak semula proses dalamannya.
"Meskipun kesan kewangan yang timbul daripada kelemahan ini tidak dinyatakan sejauh ini, MOM meminta SNEF untuk memberikan perkembangan hasil semakan mereka dan berkongsi dokumen penting dengan MOM sebaik sahaja ia selesai (dijalankan)," tambahnya.
Menurut MOM, ia akan memutuskan langkah seterusnya menyusuli semakan itu.
"Tidak akan ada perubahan pada proses tiga pihak. MOM akan terus bekerjasama dengan SNEF sebagai rakan kongsi tiga pihak kami untuk memajukan matlamat ekonomi dan sosial bagi Singapura," tambah kementerian itu.
NTUC juga mengatakan ia telah diberitahu mengenai peletakan jawatan Dr Yap.
Pergerakan buruh itu mengatakan di bawah kepimpinan Dr Yap, SNEF telah memberi sumbangan kepada banyak majlis tiga pihak dan kumpulan kerja serta memperjuangkan kepentingan perniagaan dalam meningkatkan mutu hidup para pekerja mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.