Skip to main content

Singapura

Presiden Persatuan Guaman Adrian Tan selar 'alasan lemah' Richard Branson tolak undangan debat isu hukuman mati

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Presiden Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) Encik Adrian Tan, menyifatkan alasan hartawan Britain Richard Branson menolak undangan berdebat di televisyen mengenai isu undang-undang dadah di Singapura sebagai "tidak masuk akal".

Dalam kritikan pedas di laman rangkaian sosial LinkedIn pada Selasa (1 Nov), Encik Tan mempersoalkan motif Encik Branson enggan menyokong hukuman mati Singapura.

"Mungkin Encik Branson tidak mahu dicabar mengenai pengetahuan beliau mengenai situasi di Singapura semasa perdebatan langsung di televisyen. Ia sangat mengejutkan kerana selepas membaca blog beliau, anda akan menjangka Encik Branson tahu banyak mengenai Singapura," kata Encik Tan.

"Saya ingin tanya Encik Branson: Adakah anda sengaja mengejek kami? Adakah anda serius mengenai isu ini? Adakah ia hanya untuk media sosial kerana ingin tampil trendy?

"Saya harapkan tidak. Saya ingatkan anda ikhlas."

Pada 22 Oktober, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengundang Encik Branson untuk berdebat secara langsung di televisyen - dengan tiket penerbangan dan penginapan dibayar penuh - selepas MHA menyangkal beberapa komen awal Encik Branson mengenai undang-undang dadah Singapura.
Encik Branson menolak undangan itu pada Isnin (31 Okt) dan menulis di dalam blognya: "Debat di televisyen, terhad dalam masa dan skop, sentiasa berisiko mengutamakan personaliti berbanding isu - tidak boleh menghuraikan kerumitan berhubung hukuman mati".

Sebagai respons, Encik Tan berkata menggunakan kesuntukan masa sebagai satu alasan adalah satu sebab yang lemah kerana MHA memberikan Encik Branson sebanyak masa yang beliau mahu.

Tambahan pula, perdebatan itu tidak akan terhad dalam skopnya, tambah Encik Tan.

"Skopnya adalah seperti yang beliau katakan: Hukuman mati di Singapura."
Dalam menolak undangan untuk berdebat, Encik Branson berkata gesaan beliau agar hukuman mati di Singapura dihentikan diilhamkan daripada peguam bela di sini dan menggesa Pemerintah untuk mendampingi aktivis.

"Apa yang Singapura perlukan adalah dialog yang membina dan berkekalan yang melibatkan pelbagai pihak-pihak berkepentingan," tulis Encik Branson.

"Perbualan ini memerlukan suara penduduk tempatan".

Encik Tan menjawab," Sangat menghairankan bahawa Encik Branson berkata demikian kerana Singapura selama ini sudah memberitahu beliau bahawa beliau bukanlah pihak-pihak berkepentingan ataupun suara penduduk tempatan.

Dalam ruangan komen Encik Tan berkata, "Encik Branson tidak harus memberitahu Pemerintah Singapura untuk melibatkan pihak-pihak berkepentingan. Ia sudah dilaksanakan. Kami tidak perlu hartawan Britain untuk beritahu kami apa yang harus kami lakukan."

Berhubung pandangannya sendiri mengenai hukuman mati, Encik Tan berkata beliau sudah mengubah pandangannya mengenai hukuman mati dan sentiasa berfikiran terbuka.

"Saya ingin dengarkan debat serius berhubung perkara itu. Namun ia harus daripada individu yang mempunyai pengetahuan mendalam yang mengetahui fakta-fakta."
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita