Skip to main content

Singapura

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan lakukan lawatan negara 3 hari ke SG

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan lakukan lawatan negara 3 hari ke SG
Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan melakukan lawatan negara ke Singapura dari 1 Mac hingga 3 Mac atas undangan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam. (Gambar fail: AFP/Anthony Wallace, Tiziana Fabi)
Diterbitkan : 28 Feb 2026 11:19AM
  • Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, bersama wanita pertama Kim Hea Kyung dan delegasi, mengadakan lawatan negara ke Singapura dari 1 hingga 3 Mac atas undangan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
  • Lawatan ini menegaskan hubungan kukuh antara Singapura dan Korea Selatan serta memberi peluang menyemak kemajuan Perkongsian Strategik yang ditubuhkan pada November 2025.
  • Encik Lee disambut dengan upacara beristiadat, kunjungan hormat, jamuan tengah hari dan jamuan negara, serta menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dalam bidang perdagangan, keselamatan tenaga dan harta intelek.
  • Presiden Lee dan wanita pertama Kim turut menerima penghormatan penamaan orkid Vanda Lee Jae Myung Kim Hea Kyung sempena nama mereka.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung akan melakukan lawatan negara ke Singapura dari Ahad (1 Mac) hingga Selasa (3 Mac).

Ini diumumkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (28 Feb).

Lawatan tiga hari itu dibuat atas undangan Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Encik Lee akan diiringi oleh wanita pertama Korea Selatan, Kim Hea Kyung, serta para menteri Kabinet dan pegawai kanan.

“Lawatan Presiden Lee menegaskan hubungan kukuh antara Singapura dengan Republik Korea (ROK) serta menyediakan peluang yang tepat pada masanya bagi kedua-dua pihak untuk menyemak kemajuan yang dicapai dalam Perkongsian Strategik Singapura-ROK sejak penubuhannya pada November 2025,” menurut MFA dalam kenyataan medianya.

Kedua-dua negara itu mengukuhkan hubungannya kepada Perkongsian Strategik pada 2025 sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Pengumuman itu dibuat semasa lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Lawrence Wong ke Korea Selatan sebagai perdana menteri tahun lalu.

Singapura dan Korea Selatan juga merupakan antara 10 rakan dagang utama masing-masing.

Pada Isnin (2 Mac), Encik Lee akan disambut dalam upacara beristiadat dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Encik Tharman.

Beliau juga akan bertemu dan diraikan dalam jamuan tengah hari oleh Encik Wong.

Pada sebelah petang pula, Encik Tharman akan menganjurkan jamuan negara sebagai penghormatan kepada Encik Lee.

Sepanjang lawatan itu, Encik Wong dan Encik Lee akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang termasuk perdagangan, keselamatan tenaga dan harta intelek.

Encik Lee dan wanita pertama Kim juga akan menerima penghormatan penamaan orkid, Vanda Lee Jae Myung Kim Hea Kyung, sempena nama mereka, menurut MFA.
Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita