Presiden Kehormat dan Pengerusi Prihatin Singapura lepaskan jawatan
Menerusi catatan Facebook, Prihatin Singapura juga menyatakan ia tidak lagi memberi sokongan kepada sebuah program Umrah DIY yang diuruskan oleh dua orang pelakon.
SINGAPURA: Dua pemegang jawatan tertinggi Prihatin Singapore Limited mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan masing-masing.
Menurut catatan di Facebook pada Jumaat (27 Sep), Prihatin Singapura mengumumkan pengunduran Presiden Kehormat Jasmi Mohd Nor dan Pengerusinya, Moliano Rasmadi.
Ini diumumkan empat bulan selepas Prihatin dirasmikan.
Ia dilancarkan pada 3 Mei 2024.
TIDAK LAGI BERI SOKONGAN KEPADA PROGRAM UMRAH DIY
Prihatin Singapura juga memaklumkan bahawa ia tidak lagi menyokong program umrah seperti yang diuar-uarkan di laman Instagramnya sebelum ini.
Prihatin Singapura menyatakan, "Prihatin Singapore Limited juga ingin memaklumkan ia tidak lagi memberi sokongan kepada program Umrah DIY kendalian Nurijah Sahat dan Ahmad Yusoff. Prihatin Singapore Limited ingin memaklumkan kepada semua 120 bakal jemaah yang terlibat yang telah mendaftar untuk menghubungi Nurijah Sahat dan Ahmad Yusoff bagi segala pengurusan projek ini"
Menurut gambar poster yang dimuat naik ke laman Instagramnya pada 27 Februari lalu, program umrah kendalian pelakon Ahmad Yusoff dan isterinya yang juga seorang dramatis, Nurijah Sahat disokong oleh Prihatin Singapura.
Para jemaah yang mendaftar dijangka berangkat ke Tanah Suci pada 27 November ini.
Menurut laman TRUST Lembaga Pelancongan Singapura (STB), tiada agensi pelancongan berlesen yang didaftarkan di bawah nama dua pelakon itu.
Prihatin Singapura sudah mula menganjurkan beberapa kegiatan amal sejak 2021 untuk mengumpul dana bagi membantu para penggiat seni dan personaliti yang memerlukan.
Sejak itu, Prihatin Singapura sudah menghulurkan bantuan kepada lebih 70 penggiat seni dan personaliti.
Antaranya termasuk penyanyi adik-beradik Nuradee, pelakon Haslina Jaaman dan penyampai BERITA Allahyarham Riz Sunawan.
Pada 2022, Prihatin Singapura bekerjasama dengan Mediacorp dalam Projek Kasih dan berjaya mengumpul S$110,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.