Skip to main content

Singapura

Presiden Kanan Mahkamah Syariah Ustaz Irwan Hadi kongsi visi kukuhkan perundangan keluarga Islam SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mengukuhkan perspektif perundangan keluarga Islam yang progresif dan relevan untuk masyarakat moden Singapura.

Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy telah dilantik sebagai Presiden Kanan Mahkamah Syariah pada 1 Februari lalu juga mahu memastikan Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Keadilan Keluarga dalam memberikan keadilan kepada masyarakat Islam di negara ini.

Beliau, yang sebelum ini menjawat jawatan Presiden Mahkamah Syariah, menggantikan Cik Guy Ghazali yang menamatkan penggalnya pada 31 Januari lalu.

Cik Guy, 42 tahun, meneruskan kerjayanya dalam Perkhidmatan Undang-Undang Singapura.

Dalam satu temu bual bersama BERITA Mediacorp, Ustaz Irwan berkongsi pengalamannya, cabaran semasa, serta visi beliau untuk masa depan Mahkamah Syariah.

PENGALAMAN SEBELUMNYA MEMBENTUK KEPIMPINAN

Ustaz Irwan mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan dan fatwa.

“Pengalaman saya di pejabat Mufti dan Jawatankuasa Fatwa mendedahkan saya kepada banyak penyelidikan dalam bidang dasar dan undang-undang,” kata beliau kepada Rosli A Razak.

Menurut beliau, pengalaman tersebut memaksa beliau untuk melihat isu-isu secara holistik, menilai setiap kes dari pelbagai dimensi termasuk keperluan individu dan cabaran keluarga.

Ini penting dalam membuat keputusan di Mahkamah Syariah, terutamanya dalam kes perceraian dan pembahagian harta.

PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN GOLONGAN ASATIZAH

Sejak menyertai Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan menyedari pentingnya mempertingkatkan hubungan antara pihak mahkamah dan golongan asatizah.

“Saya rasakan salah satu bidang atau salah satu perkara yang perlu kita pertingkatkan lagi adalah hubungan kita dengan asatizah. Kerana bila kita membincangkan tentang perundangan keluarga, selalunya sebelum masyarakat kita mula berjumpa dengan peguam, dia akan pertama ke asatizah untuk mendapatkan nasihat, sama ada untuk menyelamatkan rumah tangga mereka ataupun berkenaan isu-isu hukum,” kata Ustaz Irwan.

Oleh itu, beliau memulakan inisiatif untuk bekerjasama dengan golongan asatizah, termasuk pegawai agama di masjid, untuk mendalami isu perundangan keluarga dan membantu masyarakat mendapatkan pandangan yang lebih jelas.

“Jadi di sini saya rasa ada perlunya untuk kita sebagai Mahkamah Syariah untuk bersama dengan asatizah. Saya mulakan pertemuan sebagai contoh dengan Pegawai agama masjid (MRO) di masjid-masjid supaya kami dapat bekerjasama. Kami tahu bahawa masyarakat selalunya berjumpa mereka untuk meminta pandangan hukum, terutama mengenai isu sama ada talaq itu jatuh atau tidak,” jelas beliau.

Walaupun keputusan akhir dibuat oleh Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan percaya pendedahan kepada asatizah akan membantu mereka memberikan nasihat yang lebih tepat kepada masyarakat.

“Meskipun yang memutuskan akhirnya adalah Mahkamah Syariah, namun dengan kami mendedahkan kepada mereka akan pendirian-pendirian yang diambil oleh Mahkamah Syariah, sekurang-kurangnya mereka boleh memberikan gambaran kepada pihak-pihak yang bertanya dan menasihati mereka agar pertama mendapatkan nasihat guaman,” tambah beliau.

Beliau juga menekankan pentingnya masyarakat mendapatkan persediaan yang cukup untuk memastikan hak mereka terlindung dengan betul.

“Sebab itu sangat penting supaya mereka memastikan hak-hak mereka terpelihara dan tahu apa yang perlu dilakukan,” ujar beliau.

Selain itu, Ustaz Irwan turut membangunkan modul latihan “Islam dalam konteks Singapura” untuk graduan universiti agama yang mengikuti program Sijil Pascasiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Modul itu memberi pendedahan kepada asatizah mengenai perundangan keluarga di Singapura.

“Secara umum, modul ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada asatizah mengenai perundangan keluarga di Singapura. Selain daripada itu, ia juga merangkumi faktor-faktor lain yang perlu diketahui oleh asatizah dalam menjalankan tugas mereka,” kata Ustaz Irwan.

Program ini dimulakan sekitar bulan Julai tahun lalu, dan setakat ini hampir 20 masjid telah terlibat.

“Sejauh ini, saya telah terlibat dalam mengajar tiga hingga empat kohort, dengan hampir 100 orang peserta. Peserta-peserta ini datang dari beberapa daerah, antaranya daerah Barat dan Selatan,” jelas beliau.

Dalam menjayakan program itu, Ustaz Irwan bekerjasama dengan beberapa rakan sekerja dari pelbagai bidang dengan menggunakan pendekatan bengkel dan perkongsian untuk mendalami isu-isu yang berkaitan.

Selain daripada beliau sendiri, beberapa teman-teman dari bahagian Kaunseling Kanak-Kanak juga turut terlibat dalam memberi pendedahan kepada para peserta mengenai pentingnya menjaga kebajikan anak-anak.

EVOLUSI UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM SG

Ustaz Irwan melihat masa depan keadilan keluarga Islam di Singapura akan terus berkembang selaras dengan perubahan sosial dan ekonomi masyarakat.

Mengulas tentang evolusi Mahkamah Syariah, beliau berkata, "Semestinya Mahkamah Syariah telah melihat banyak perkembangan dalam bidang perundangan keluarga Islam Singapura. Sebagai contoh, dalam pembahagian harta sepencarian, kita mengambil kira bukan hanya daripada prinsip agama, tapi juga uruf dan kebiasaan masyarakat."

Beliau menekankan pentingnya memastikan setiap keputusan yang diambil mempertimbangkan realiti kehidupan dan keperluan keluarga, termasuk dari segi ekonomi dan sosial.

Ini memandangkan peranan suami dan isteri kini semakin seimbang.

"Kalau sekarang kita nampak lebih banyak suami dan isteri memainkan peranan yang hampir sama dan tidak lagi seperti dahulu yang mana peranannya nampak jelas berbeza antara lelaki atau perempuan. Maka semua ini perlu dimasukkan dalam pertimbangan perundangan," jelas beliau.

Beliau melihat perkembangan ini sebagai bentuk perundangan Islam yang unik dan relevan dengan masyarakat Islam di Singapura, yang boleh dikongsi dengan komuniti lebih luas, termasuk dalam perundangan sivil.

"Perundangan Islam adalah perundangan yang berdasarkan juga sudut kerohanian yang mendalam. Jadi kita terpandu oleh etika. Dalam suasana perundangan kini banyak memberikan penekanan kepada etika dalam pelbagai sudut perundangan dan saya rasa itu adalah salah satu daripada bidang yang kita boleh sumbang iaitu etika perundangan keluarga secara khususnya daripada sudut Islam," tambah Ustaz Irwan.

Selain itu, Ustaz Irwan berharap Singapura dapat terus berkongsi pengalamannya dalam melaksanakan undang-undang keluarga Islam dengan negara lain melalui pelbagai platform, termasuk persidangan.

"Dari masa ke semasa, akan ada wadah persidangan di mana kita diundang untuk berkongsi," ujar beliau.

PENDIDIKAN AWAM DAN FOKUS PADA KEBAJIKAN ANAK DALAM PROSES PERCERAIAN

Mahkamah Syariah Singapura telah memperkenalkan beberapa inisiatif penting untuk memastikan kebajikan anak-anak dalam proses perceraian.

Ustaz Irwan menjelaskan bahawa salah satu fokus utama adalah meningkatkan pendidikan awam mengenai proses perundangan, serta menekankan pentingnya menjaga kebajikan anak-anak dalam situasi perceraian.

"Ke hadapan, sebahagian daripada pendidikan umum atau awam itu adalah untuk menekankan tentang pentingnya memelihara dan menjaga kebajikan anak-anak dalam sesebuah proses perceraian," kata beliau.

Mahkamah Syariah juga telah memperkenalkan skim Perwakilan Anak yang melibatkan pakar sosial untuk menemubual anak-anak yang terlibat dalam perceraian.

Selain itu, kerjasama dengan rakan kaunseling perkahwinan turut membantu keluarga menghadapi krisis sebelum membuat keputusan bercerai.

"Semua ini adalah komponen yang kita ingin berikan perhatian supaya masyarakat ke hadapan dapat memberikan sokongan emosi dan mengamalkan prinsip ihsan dalam perceraian," jelas Ustaz Irwan.

Prinsip ‘Ihsan’ yang terdapat dalam al-Quran menekankan pentingnya kedua belah pihak untuk memastikan kehidupan mereka terus berjalan dengan positif selepas perceraian, sambil mengurangkan kesan buruk terhadap diri mereka dan anak-anak.

Beliau juga menekankan peranan keluarga yang lebih luas dalam memberikan sokongan.

"Setiap rakan kongsi atau pemegang taruhan mempunyai peranan mereka di setiap batu tanda. Kalau masjid adalah titik permulaan, pusat kaunseling adalah titik kedua, dan akhirnya, pihak peguam juga perlu menekankan kebajikan anak-anak ketika membincangkan pembahagian masa," kata beliau.

Walaupun keputusan mahkamah telah ditentukan, sokongan emosi kepada anak-anak tetap diberi perhatian.

"Hatta apabila kita buat keputusan pun, kita tetap mengingatkan kedua belah pihak bahawa mereka adalah ibu dan bapa dan lebih tahu keadaan anak-anak mereka. Selepas perceraian, anak-anak akan melalui pelbagai gejolak emosi, yang akan diterjemahkan ke dalam reaksi yang berbeza-beza," jelas Ustaz Irwan.

Untuk memastikan kesejahteraan keluarga, Mahkamah Syariah boleh memerintahkan ibu bapa menghadiri program kaunseling, memberi panduan tentang cara menjadi ibu bapa yang lebih baik.

"Jika perlu, anak-anak yang didapati memerlukan sokongan emosi, kami akan perintahkan mereka menghadiri program yang sesuai," katanya.

Inisiatif ini memastikan bahawa kebajikan anak-anak dijaga sepanjang proses perceraian, memberi mereka sokongan yang sewajarnya.

CABARAN DAN PELUANG MEDIA SOSIAL

Ustaz Irwan berkata juga melihat media sosial sebagai cabaran dan peluang besar bagi Mahkamah Syariah.

"Antara cabaran utama yang saya lihat adalah cabaran dan juga peluang media sosial," katanya.

Beliau menyatakan bahawa banyak podcast yang membincangkan kes-kes di mahkamah, yang kadang kala menyebabkan salah faham mengenai proses perundangan.

Menurut beliau, ini menjejaskan imej Mahkamah Syariah, tetapi ia juga memberi peluang untuk memperbetulkan persepsi masyarakat.

"Dalam salah tanggap itu, ada peluang untuk kita kemudian memperbetulkan," tambahnya.

Ustaz Irwan juga berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi dari pelbagai bidang seperti perundangan dan agama untuk mendidik masyarakat mengenai proses Mahkamah Syariah.

Beliau menekankan pentingnya pemahaman masyarakat terhadap keperluan dokumen yang diperlukan dalam setiap perbicaraan untuk memastikan keadilan.

Selain itu, Ustaz Irwan menjelaskan bahawa kelewatan dalam perbicaraan mungkin disebabkan oleh dokumen yang tidak lengkap atau pihak tertentu yang gagal hadir ke mahkamah.

"Kita mahu memastikan kedua-dua pihak mendapat peluang untuk mengemukakan pandangan mereka dan bukti yang ada," jelas beliau.

 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita