Presiden Halimah Yacob putuskan tidak bertanding Pilihan Raya Presiden 2023
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob mengumumkan pada Isnin (29 Mei) bahawa beliau tidak akan bertanding bagi Pilihan Raya Presiden tahun ini.
"Dalam masa beberapa bulan lagi, Pilihan Raya Presiden akan diadakan. Selepas membuat pertimbangan teliti, saya memutuskan untuk tidak bertanding bagi pilihan raya presiden seterusnya.
"Ia satu penghormatan dapat berkhidmat sebagai Presiden kelapan Singapura sepanjang enam tahun lalu. Pengalaman ini sangat memberi inspirasi dan, pada masa yang sama, membuat saya berasa rendah diri," kata beliau dalam kenyataannya.
Puan Halimah menambah bahawa beliau sedar akan "tanggungjawab yang sangat berat" yang perlu dipikul sebagai seorang presiden apabila beliau memegang jawatan tersebut pada 2017.
"Saya sudah mencuba sebaik mungkin untuk memenuhinya. Matlamat saya adalah untuk membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih mengambil berat dan bersifat ihsan.
"Saya berterima kasih kepada semua rakyat Singapura atas kepercayaan, sikap saling memahami serta sifat baik hati mereka sepanjang saya memegang jawatan presiden dan kepada pertubuhan masyarakat, sosial serta perniagaan, yang menyuntik inspirasi kepada saya dengan keyakinan dan semangat mereka dalam membina Singapura yang lebih baik.
"Saya akan sentiasa menghargai kenangan indah bersama mereka yang sudah saya temui dan pengalaman yang diraih semasa penggal saya. Ini akan memberi inspirasi kepada saya untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara kita dalam cara lain selagi saya berupaya berbuat demikian. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada suami dan keluarga saya atas sokongan padu mereka sepanjang saya menjadi presiden," kata beliau.
Pilihan raya presiden selanjutnya bagi Singapura perlu diadakan sebelum 13 September.
Ia dibuka kepada calon daripada semua kaum, berbanding pilihan raya pada 2017 di mana hanya anggota masyarakat Melayu sahaja dibenarkan bertanding.
PUAN HALIMAH SEBAGAI PRESIDEN
Puan Halimah mengangkat sumpah pada 14 September 2017 di Istana. Beliau adalah presiden Melayu pertama sejak Yusof Ishak pada 47 tahun lalu dan juga wanita pertama sebagai presiden.
Pilihan raya pada 2017 dikhususkan bagi calon Melayu sahaja kerana masyarakat belum ada anggota Melayu sebagai presiden sejak lima penggal lalu. Puan Halimah juga satu-satunya calon yang diberikan Sijil Kelayakan.
Pindaan perlembagaan diluluskan pada November 2016, yang memberi mandat bagi pilihan raya yang dikhususkan untuk calon dari kaum tertentu diadakan jika belum ada presiden dari kumpulan itu yang dipilih sejak lima penggal presiden yang lalu.
Penggal Puan Halimah sekarang ini bakal berakhir pada September tahun ini.
Semasa menyandang jawatan presiden, Puan Halimah melakukan lawatan rasmi ke pelbagai negara, termasuk China, Korea Selatan, India, New Zealand dan Australia, dengan tujuan memperkukuhkan hubungan dua hala.
Lawatan-lawatan tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama yang dipertingkat dalam bidang seperti perdagangan, pendidikan dan kerjasama pertahanan.
Puan Halimah juga terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif amal dan menyokong pelbagai tujuan amal, seperti Cabaran Presiden, yang juga kempen tahunan di seluruh negara yang bermatlamat mengumpul dana dan menggalak kesukarelawanan bagi pelbagai pertubuhan di Singapura.
PILIHAN RAYA PRESIDEN SETERUSNYA
Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden - yang dibentuk oleh anggota-anggota seperti pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) - menentukan sama ada calon-calon itu layak bertanding.
Di bawah syarat perkhidmatan sektor awam yang tertera dalam Perlembagaan Singapura, calon presiden mesti pernah memegang jawatan politik - selama sekurang-kurangnya tiga tahun - sebagai menteri, ketua hakim, Speaker Dewan, peguam negara atau setiausaha parlimen, antara lain.
Ketua eksekutif badan berkanun utama atau syarikat milik pemerintah seperti Temasek juga layak.
Calon sektor privet mesti berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun sebagai ketua eksekutif sesebuah syarikat dengan purata ekuiti pemegang saham sebanyak S$500 juta.
Untuk bertanding sebagai presiden, bakal calon juga mesti meyakinkan jawatankuasa itu bahawa mereka individu "berintegriti serta memiliki tingkah laku dan reputasi baik".
Pada 10 Mei, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata bahawa terdapat sekitar 50 jawatan perkhidmatan awam yang mungkin memenuhi syarat perkhidmatan sektor awam untuk bertanding dalam pilihan raya presiden seterusnya bagi Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.