Presiden Halimah Yacob lancarkan model Istana dari LEGO
Sempena ulang tahun ke-150 Istana tahun ini, Presiden Halimah Yacob melancarkan model khas Kediaman Rasmi Presiden yang dibuat daripada blok LEGO.
Presiden Halimah Yacob melancarkan model khas Kediaman Rasmi Presiden yang dibuat daripada blok Lego.
SINGAPURA: Sempena ulang tahun ke-150 Istana tahun ini, Presiden Halimah Yacob melancarkan model khas Kediaman Rasmi Presiden yang dibuat daripada blok LEGO.
Kesemua 500 set replika eksklusif itu sudah dibahagikan kepada pengunjung ke Rumah Terbuka Hari Buruh Istana, yang membuat derma sekurang-kurangnya S$70 kepada dana Cabaran Presiden.
PRESIDEN HALIMAH: CENDERAMATA UNIK LAMBANG IDENTITI S'PURA
Seawal 9 pagi lagi ribuan pengunjung membanjiri perkarangan Istana sempena Rumah Terbuka Hari Buruh Istana.
Namun, lebih signifikan lagi ialah pelancaran edisi khas model Istana set diperbuat daripada 200 blok LEGO bersempena dengan ulang tahun ke- 150 Istana tahun ini.
Mengambil masa tiga bulan untuk dihasilkan, ia dilancarkan khusus oleh Pejabat Presiden dan direka oleh seorang Karyawan Bertauliah LEGO.
Presiden Halimah berkata Istana adalah satu mercu tanda ikonik yang sudah memainkan peranan penting dalam sejarah dan identiti Singapura.
Beliau berharap rakyat Singapura akan menghargai cenderamata unik itu dan sama-sama mengimbas kembali perjalanan dan pencapaian negara.
Turut sama-sama melancarkan replika istimewa itu ialah kanak-kanak kurang bernasib baik dari FaithActs - sebuah badan yang menjalankan program pembangunan pendidikan bagi golongan tersebut.
Salah seorang daripadanya ialah Muhammad Naufal Naimullah Mohammad Yazit, pelajar berusia 11 tahun.
"Saya rasa amat gembira kerana saya dapat berjumpa bersama Presiden di sini. Saya memberitahunya bagaimana untuk meletakkan blok Lego ini ke tempat yang betul," kongsi Naufal.
ADA YANG DATANG UNTUK KENALI SEJARAH
Namun ada beberapa pengunjung yang kami temui berkata mereka mengunjungi Istana pada hari ini (1 Mei) untuk mengenali sejarah dengan lebih dekat lagi.
Ini memandangkan Rumah Terbuka Hari Buruh Istana juga memuatkan dereten program lain seperti jalan berpandu bersama Lembaga Taman Negara (NParks) dan Lembaga Warisan Negara (NHB).
"Kami rasa berbangga dan teramat terharu kerana ini adalah pertama kali saya dan keluarga menjejakkan langkah ke Istana dan kami dapat merasai dan mengetahui secebis dari sejarah Singapura dan bagaimana sultan-sultan dahulu memerintah di Singapura," kongsi Cik Nabilah Ibrahim yang membuat kunjungan tersebut bersama anggota keluarganya.
Seorang lagi pengunjung, Cik Inshirah Abdul Hadi Lim turut berkongsi pandangannya: "Saya datang ke sini kerana ini adalah kali pertama saya ke sini dan saya sebagai orang Singapura saya ingin melihat Istana yang penuh dengan sejarah dan juga bertemu dengan Presiden Halimah Yacob," katanya.
Rumah Terbuka Istana seterusnya akan dianjurkan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dan Dwiabad pada 5 Jun nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.