Presiden Halimah Yacob lancarkan bulan Raikan Ilmu
Berbeza dengan kempen-kempen sebelum ini, edisi Raikan Ilmu kali ini akan diadakan selama sebulan dan diharap dapat menjadi satu gerakan membudayakan semangat pembelajaran di kalangan masyarakat.
Bulan Raikan Ilmu 2019 dilancarkan Puan Halimah Yacob. (Gambar: FB/ Abdul Rohim Sarip)
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob melancarkan bulan Raikan Ilmu di Wisma MENDAKI hari ini (5 Okt).
Berbeza dengan kempen-kempen sebelum ini, edisi Raikan Ilmu kali ini akan diadakan selama sebulan dan diharap dapat menjadi satu gerakan membudayakan semangat pembelajaran di kalangan masyarakat.
Di acara pelancaran tadi, Puan Halimah juga meninjau Galeri Warisan yang baru dibuka sempena bulan Raikan Ilmu.
Galeri tersebut menjejak evolusi kemajuan masyarakat Melayu/Islam dalam bidang pendidikan sejak tahun-tahun 1900-an lagi.
Puan Halimah mengiktiraf pencapaian besar masyarakat Melayu/Islam kini berbanding dahulu.
Dalam ucapannya, beliau mengajak masyarakat supaya meneruskan kemajuan ini agar dapat mencapai visi 'Masyarakat Gemilang' seperti yang dibentangkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli sebelum ini.
Di acara itu juga, Puan Halimah melancarkan sebuah buku diberi nama "Navigating Educational Development: MENDAKI and the Malays" atau "Menyusuri Perkembangan Pendidikan: MENDAKI dan masyarakat Melayu".
Buku berkenaan menceritakan perkembangan menimba ilmu dalam masyarakat Melayu/Islam dari zaman ke zaman demi kebaikan diri dan masyarakat.
Puan Halimah turut meluahkan harapan agar semangat ini dapat diteruskan supaya ia dapat menyediakan permulaan yang baik bagi generasi seterusnya.
Orang ramai boleh mengunjungi Galeri Warisan mulai hari ini dan mendapatkan senarai penuh kegiatan dijalankan semasa bulan Raikan Ilmu ini di laman web MENDAKI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.