Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah Yacob disanjung atas perjuangan pelihara hak pekerja

Isu-isu melibatkan para pekerja serta hak-hak mereka sentiasa menjadi keprihatinan Presiden Halimah Yaacob sehingga dianggap sebagai pejuang hak pekerja oleh kesatuan buruh.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Isu-isu melibatkan para pekerja serta hak-hak mereka sentiasa menjadi keprihatinan Presiden Halimah Yaacob sehingga dianggap sebagai pejuang hak pekerja oleh kesatuan buruh.

Menyusuli pengumuman bahawa beliau tidak akan bertanding semula bagi Pilihan Raya Presiden seterusnya, Naib Presiden NTUC Abdul Samad Abdul Wahab mengenang jasa dan usaha Puan Halimah dalam memastikan kebajikan para pekerja terus terpelihara dan ia merupakan antara isu yang amat dekat di hatinya.

Encik Samad berkata, "Puan Halimah setelah menjadi Presiden, beliau masih lagi mendengar luahan para pekerja di luar sana, walaupun beliau bukan lagi bersama gerakan buruh. Beliau juga sentiasa bertanyakan kepada ahli kesatuan bagaimana keadaan para pekerja di Singapura, apa yang boleh dibantu."

Puan Halimah memulakan kerjayanya sebagai pegawai guaman di NTUC sebelum menjadi Pengarah Jabatan Khidmat Perundangan kongres tersebut pada 1992.

"Dengan pengalaman Puan Halimah sewaktu di gerakan buruh, beliau sentiasa dapat memberi ahli kesatuan seperti saya panduan bagaimana untuk menjadi lebih baik sebagai wakil para pekerja Singapura, tidak kira cabaran yang dihadapi," tambah beliau.

PELUANG SETARA BAGI PEKERJA WANITA

Encik Samad yang juga Anggota Parlimen Dilantik (NMP) turut mengenang usaha Puan Halimah dalam menggalak golongan wanita kembali bekerja.

"Beliau merupakan nadi penggerak yang memastikan golongan wanita memainkan peranan penting di landskap pekerjaan di Singapura. Beliau menggalakkan para pekerja wanita Singapura untuk kembali bekerja dan kembali membawa lebih pengertian dalam landskap pekerjaan di Singapura," kata Encik Samad.

Ini termasuk dalam usaha menyediakan peluang yang setara antara pekerja wanita dengan lelaki mengikut kemampuan dan kewibawaan mereka.

"Puan Halimah membuktikan di sebaliknya, bahawa kaum wanita juga dapat memainkan peranan yang penting. Apabila menjadi presiden Singapura, beliau tetap berpendirian yang sama bahawa kelebihan kaum wanita tidak harus diambil ringan.

PASTIKAN GOLONGAN PEKERJA TIDAK TERUS TERJEJAS WAKTU COVID-19

Dalam tempoh menyandang jawatan selaku Presiden Singapura, Puan Halimah juga melalui beberapa fasa genting dan kritikal, termasuk cabaran yang dibawa pandemik COVID-19.

Dalam fasa tersebut, Encik Samad berkongsi bagaimana peranan Puan Halimah selaku Presiden dapat memastikan golongan pekerja tidak begitu terjejas teruk oleh pandemik.

Sewaktu pandemik COVID-19, Pemerintah Singapura telah menetapkan enam belanjawan untuk membantu rakyat Singapura mengharungi cabaran pandemik.

"Puan Halimah memberi sokongan kuat kepada pemerintah untuk memastikan kita mempunyai dana dan memastikan para pekerja tidak hilang pekerjaan dan dapat memperbaiki diri mereka sama ada beralih kepada pekerjaan lain atau meraih kemahiran baru," ujar Encik Samad.

"Kalau tidak ada sokongan dan mandat daripada Presiden, ini mungkin menjadi menjadi cabaran kepada para pekerja Singapura, ini dua peranan besar sebagai Presiden Singapura, untuk memastikan rakyat dan para pekerja Singapura sentiasa dapat mencari nafkah," tambahnya.

GOLONGAN HBB JUGA TIDAK DILUPAKAN

Selain golongan pekerja, Puan Halimah juga prihatin dengan mereka yang berniaga dari rumah

"Banyak sekali halangan untuk para peniaga HBB. Puan Halimah sebagai Presiden, memberikan pandangan beliau tentang kelebihan mengadakan HBB, memberikan ruang dan peluang kepada golongan wanita di sana ataupun keluarga yang tidak dapat bekerja dek COVID-19 tetapi masih boleh mencari nafkah dengan adanya HBB," tambah Encik Samad.

Dalam peranan dan usahanya, Puan Halimah memastikan "rakyat dan para pekerja Singapura terus dapat mencari nafkah" meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19.

"Saya yakin, Puan Halimah akan tetap menjadi Puan Halimah yang sama, sebelum beliau menjadi Presiden, sewaktu, dan apabila beliau bukan lagi menjadi Presiden. Sama maksudnya, beliau akan sentiasa prihatin terhadap para pekerja Singapura dan rakyat, tidak kira bangsa dan agama," kata Encik Samad.

Dalam catatan beliau di Facebook, Encik Samad juga menyanjung usaha Presiden Halimah dalam menyatukan setiap rakyat Singapura tidak kira kaum, bahasa mahupun agama.

Ini termasuk kesudian Presiden Halimah untuk menyertai sambutan Hari Raya terbesar oleh para pemimpin kesatuan. Kehadirannya menurut Encik Samad menghimpunkan lebih 600 pemimpin kesatuan berbilang kaum dan agama.

Presiden Singapura yang seterusnya akan ditentukan dalam pilihan raya presiden yang mesti diadakan selewat-lewatnya 13 September ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan