Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah: Usaha Masjid Assyakirin tawar pelbagai khidmat cerminkan kerelevanan masjid kepada keperluan masyarakat majmuk

Menjadi relevan kepada keperluan masyarakat dan menyediakan penyelesaian kepada cabaran masa kini adalah sangat penting bagi badan-badan keagamaan termasuk masjid.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah: Usaha Masjid Assyakirin tawar pelbagai khidmat cerminkan kerelevanan masjid kepada keperluan masyarakat majmuk

Presiden Halimah Yacob bertemu dengan seorang warga emas yang pernah menghuni di Masjid Assyakirin. (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Menjadi relevan kepada keperluan masyarakat dan menyediakan penyelesaian kepada cabaran masa kini adalah sangat penting bagi badan-badan keagamaan termasuk masjid.

Presiden Halimah Yacob menekankan hal demikian dalam kunjungannya ke Masjid Assyakirin hari ini (19 Jan) bagi memahami lebih lanjut sokongan masjid itu buat program yang menyediakan ruang bagi golongan gelandangan.

Selain itu, Masjid Assyakirin juga membangunkan pantri masyarakat dan menjadi 'Go-to Point' bagi pesakit demensia.

Presiden Halimah memuji usaha-usaha masjid itu yang menunjukkan hasil dan selaras dengan keperluan semasa masyarakat majmuk.

"Tujuan mereka (adalah) untuk membawa masjid berdamping dengan masyarakat dan masyarakat juga dapat damping dengan masjid.

"Saya rasa itu satu matlamat yang amat baik, jadi tiga program yang terpenting saya lihat pada hari ini dan program-program tersebut selaras dengan keperluan masyarakat majmuk dan masyarakat Islam pada hari ini, iaitu hasil daripada pandemik yang sedang kita alami dan kedua, daripada kita lihat, penuaan masyarakat kita secara keseluruhannya

"Jadi masjid menunjukkan ia relevan kepada keperluan masyarakat, mengikut keadaan yang ada pada masa ini," kata Puan Halimah.

12 GELANDANGAN BERTEDUH DI MASJID ASSYAKIRIN SEJAK 2020

Sejak ruang Safe Sound Sleeping Place (S3P) di Masjid Assyakirin mula dibuka pada permulaan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada tahun 2020, seramai 12 gelandangan sudahpun tumpang berteduh di situ.

Ini termasuk tujuh penghuni pada 2020 dan lima penghuni pada tahun lalu.

Antara penghuni pada tahun lalu ialah Encik Ahmad, (bukan nama sebenar) yang pernah berteduh di masjid itu selama empat bulan selepas berpisah dengan isterinya dan kehilangan tempat tinggal.

Encik Teo (bukan nama sebenar) juga berteduh di masjid yang sama selama tujuh bulan kerana tidak mempunyai wang untuk pulang ke rumah keluarganya di Batu Pahat.

prez halimah
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Kini masjid di kawasan Jurong itu adalah salah satu daripada empat buah masjid yang bekerjasama dengan Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Partners Engaging and Empowering Rough Sleepers atau PEERS Network) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi menyediakan tempat berteduh bagi golongan gelandangan.

Tiga masjid lain yang turut menawarkan program itu adalah Masjid Kassim, Masjid Al-Ansar dan Masjid Hang Jebat.

masjid assyakirin s3p
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Setakat 31 Mei tahun lalu, sebanyak 20 S3P dikendalikan rakan-rakan masyarakat di bawah Rangkaian PEERS, dengan kadar penghunian sebanyak 93 peratus, menurut MSF.

Secara median, para penghuni S3P juga tumpang berteduh sekitar lima bulan lamanya.

Semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, hampir 300 orang tampil meminta bantuan bagi mendapatkan tempat perlindungan dan bantuan, termasuk mereka yang terjejas oleh sekatan perjalanan waktu COVID-19.

s3p amenities
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Rangkaian PEERS juga mendampingi dan bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta kumpulan-kumpulan masyarakat dan agama lain bagi menangani pelbagai keperluan golongan gelandangan itu - sesuatu yang dialu-alukan Puan Halimah.

"Ini sangat penting bukan sahaja bagi masjid, tetapi badan-badan keagamaan yang lain - kerelevanannya kepada keperluan masyarakat (dan) isu-isu cabaran masa kini. Mereka harus memberikan respons dan penyelesaian," jelas Puan Halimah.

3,000 PENERIMA BANTUAN RAIH MANFAAT PANTRI MASYARAKAT

Satu lagi usaha murni Masjid Assyakirin adalah membangunkan pantri masyarakat. Sejak ia dibuka pada 2020, seramai 3,000 penerima bantuan juga sudah meraih manfaat daripada inisiatif itu.

Pantri tersebut mengandungi barang-barang keperluan harian seperti beras, minyak masak, mi segera, tin sardin, mentega dan kicap yang boleh dibawa pulang secara percuma.

pantry
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Para penerima zakat boleh mengambil lapan barangan asas manakala orang ramai pula lima sahaja. Kedua-dua golongan boleh membawa pulang barangan tersebut dua minggu sekali.

"Tak kira dari segi bangsa ataupun agama apa apa latar belakang sekali pun, mereka boleh datang untuk mengambil barangan keperluan asas makanan di Masjid Assyakirin untuk membantu kehidupan seharian mereka," kata Ketua Jabatan Jagaan Sosial dan Masyarakat Masjid Assyakirin, Ustaz Muhd Aizat Zulkifli.

MASJID ASSYAKIRIN SATU DARIPADA EMPAT MASJID 'MESRA DEMENSIA'

Masjid Assyarakirin juga menyediakan khidmat 'Go-To Point' bagi pesakit demensia ataupun tempat untuk orang ramai menghantar penghidap demensia yang ditemui 'sesat' di tempat-tempat awam.

Masjid tersebut juga salah satu daripada empat masjid 'mesra demensia' yang menawarkan khidmat tersebut.

Tiga masjid lain ialah Masjid Hussain Sulaiman, Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Ahmad.

Presiden Halimah memuji usahasama masjid-masjid tersebut bergabung tenaga bagi mendampingi masyarakat.

"Masjid tidak mempunyai sumber yang luas tetapi dengan menggunakan kepakaran, sumber-sumber badan-badan lain yang bukan Islam, dapatlah mereka sama-sama mengadakan penyelesaian ataupun respons yang lebih efektif dan bermakna," kata beliau.

Ustaz Aizat juga mengajak masjid-masjid lain untuk turut serta dalam membantu penuhi keperluan masyarakat.

"Kami meletak diri kami sebagai 'tangan yang membantu' (helping hands) ataupun kita letak sebagai peranan sampingan.

"Kami ingin mengajak masjid-masjid lain... untuk bersama-sama menjalankan inisiatif ini dan membantu mereka yang memerlukan. Jadi di Masjid Assyakirin ini sekadar membuka laluan atau menunjukkan bahawa ada inisiatif-inisiatif ini, kemudian kami ingin berkongsi bersama rakan-rakan yang lain," ujar Ustaz Aizat.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan