Skip to main content

Singapura

Presiden Halimah ucap tahniah kepada Xi Jinping atas kejayaan anjur Olimpik Musim Sejuk Beijing

Presiden Singapura Halimah Yacob bertemu dengan Presiden Xi Jinping pada Ahad (6 Feb) di China dan mengucapkan tahiah kepada beliau kerana menganjurkan dengan jayanya temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Feb 2022 06:10PM Dikemas Kini : 06 Feb 2022 09:02PM

SINGAPURA: Presiden Singapura Halimah Yacob bertemu dengan Presiden Xi Jinping pada Ahad (6 Feb) di China dan mengucapkan tahiah kepada beliau kerana menganjurkan dengan jayanya temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing.

“Kedua-dua pemimpin itu menegaskan hubungan dua hala sangat baik yang mengekalkan satu momentum positif di tengah-tengah pandemik COVID-19," menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura.

Puan Halimah dan Encik Xi juga menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan menyediakan satu rangka kerja bagi kerjasama dua hala berhubung pemuliharaan dan kajian beruang panda.

MoU itu dimeterai oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura serta Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara China.

Pada Ogos lalu, seekor anak beruang panda bernama Le Le menjadi yang pertama dilahirkan di Singapura. Anak panda itu dilahirkan sembilan tahun selepas dua beruang panda gergasi, Kai Kai dan Jia Jia, tiba di Singapura. Kedua-dua beruang panda itu dipinjamkan oleh China selama 10 tahun dengan tempohnya dijangka berakhir pada tahun depan.

Mandai Wildlife Group menyatakan sebelum ini ia sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa China untuk melanjutkan tempoh Kai Kai dan Jia Jia di Singapura menjangkaui 2022. Le Le dijadual pulang ke China apabila ia sudah boleh hidup berdikari dalam sekitar dua tahun mendatang dan akan menyertai program pembiakan beruang panda China yang lain.

Puan Halimah dan Encik Xi juga mendedahkan nama sebuah asrama pelajar yang baru - Zhixinlou - yang dibangunkan di Daerah Pengshui, Chongqing, sebagai sebahagian daripada projek amal yang dimulakan oleh masyarakat Singapura di China. Ia sempena meraikan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara Singapura dengan China pada 2020.

Puan Halimah menarik perhatian asrama itu "melambangkan persahabatan yang kukuh" antara rakyat Singapura dengan China dan "kepentingan yang diletakkan ke atas pendidikan bagi kedua-dua negara".

“Presiden Halimah dan Presiden Xi bersetuju bahawa kedua-dua negara harus saling bekerjasama rapat untuk terus meningkatkan hubungan dua hala," menurut MFA.

“Mereka menegaskan Singapura dan China harus meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang kerjasama sedia ada."

Ini termasuk tiga projek peringkat pemerintah di Suzhou, Tianjin dan Chongqing yang sedang "memperlihatkan kemajuan baik", tambah MFA.

“Mereka juga membincangkan betapa pentingnya untuk mengukuhkan hubungan sesama rakyat dan menantikan penyambungan semula sepenuhnya keterhubungan udara serta pertukaran modal insan apabila keadaan mengizinkan kelak," menurut MFA lagi.

Puan Halimah dan Encik Xi juga mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dalam bidang-bidang baru seperti ekonomi digital, ekonomi mesra alam dan bandar bijak.

Pada Sabtu, Puan Halimah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri China Li Keqiang. Kedua-dua pemimpin menegaskan lagi hubungan kukuh antara Singapura dengan China dan mengalu-alukan "momentum baik" dalam kerjasama ekonomi.

Encik Xi turut mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin dari Serbia, Mesir, Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan, yang berada di China sempena perasmian temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Tokoh kenamaan asing serta para pemimpin lain yang bakal menghadiri Olimpik termasuk Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed Salman dan Presiden Kyrgyzstan serta Presiden Tajikistan.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita