Presiden Halimah ucap tahniah kepada rakyat AS, Presiden Biden sempena sambutan Hari Kemerdekaan
Dalam suratnya kepada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Presiden Halimah Yacob mengucapkan tahniah kepadanya dan seluruh rakyat negara itu sempena sambutan hari kemerdekaan yang ke-245.
SINGAPURA: Dalam suratnya kepada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Presiden Halimah Yacob mengucapkan tahniah kepadanya dan seluruh rakyat negara itu sempena sambutan hari kemerdekaan yang ke-245.
Dalam surat yang turut dikeluarkan kepada media pada Ahad (4 Jul), Presiden Halimah berkata Singapura dan Amerika Syarikat sudah menjalin "kerjasama yang kukuh dan dalam pelbagai bidang sejak sekian lama".
"Persahabatan yang erat antara kedua-dua negara kita, yang dibina berdasarkan sikap saling percaya dan mengongsi kepentingan bersama, telah mengukuhkan lagi hubungan kita yang teguh dalam pertahanan, keselamatan, ekonomi dan hubungan antara rakyat sejak 55 tahun yang lalu," katanya.
"Di tengah-tengah masa yang mencabar ini, saya berbesar hati kerana kerjasama dua hala antara Singapura dengan Amerika Syarikat terus berkembang untuk merangkumi bidang-bidang seperti perubahan iklim, tenaga bersih, ekonomi digital, pembiayaan infrastruktur, kesihatan awam dan keselamatan siber."
Beliau turut menegaskan bahawa Singapura komited dalam menyokong pelibatan Amerika Syarikat di rantau ini.
"Kita akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala demi memajukan kepentingan bersama dan menangani cabaran bersama baik di peringkat serantau mahupun global," tulis Puan Halimah.
Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat yang disambut setiap 4 Julai melambangkan ulang tahun Perisytiharan Kemerdekaan negara itu.
Tahun ini, sambutannya bakal diadakan di pekarangan Rumah Putih bersama dengan para pekerja khidmat penting dan keluarga anggota tentera. Sekitar 1,000 tetamu dijangka akan menghadirinya.
National Mall di Washington juga akan dibuka untuk orang ramai menyaksikan pertunjukan bunga api pada sebelah malam di Monumen Washington.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.