Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah: Tempat kerja berubah, dasar buruh juga perlu diubah

Presiden Halimah Yacob berkata dasar-dasar buruh perlu diubah untuk menyokong para pekerja memandangkan keadaan di tempat kerja sudah mengalami perubahan besar akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Apr 2021 09:16PM Dikemas Kini : 29 Apr 2021 09:23PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob berkata dasar-dasar buruh perlu diubah untuk menyokong para pekerja memandangkan keadaan di tempat kerja sudah mengalami perubahan besar akibat pandemik COVID-19.

Dalam perutusan beliau sempena Hari Buruh, Presiden Halimah menambah bahawa pandemik itu turut mewujudkan peluang-peluang bagi para pekerja yang bekerja dari pejabat.

Puan Halimah, yang pernah menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung NTUC, turut memberi sanjungan kepada para pekerja kerana dapat membuat penyesuaian dan terus tangkas.

"Memandangkan bekerja dari rumah sudah menjadi satu norma, kaum wanita akan mempunyai lebih banyak pilihan daripada pilihan binari sama ada bekerja atau tinggal di rumah kerana tanggungjawab menjaga keluarga. Para pekerja kurang upaya juga tidak lagi perlu bimbang menjadi pengecualian daripada tenaga kerja yang lain," kata beliau.

Tambah Puan Halimah, setahun sudahpun berlalu sejak penularan COVID-19 berlaku, namun mujur penularan koronavirus itu dalam kalangan masyarakat dapat dibendung.

"Program vaksinasi kita sedang berjalan lancar dan rizab negara kita membolehkan kita untuk menghulurkan sokongan dengan pantas kepada syarikat-syarikat serta para pekerja," ucap beliau.

Puan Halimah mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja kerana menjadi sebahagian penting daripada proses tersebut sambil akur bahawa perjalanan yang dilalui seluruh negara tidaklah mudah dan masa depan pula kekal tidak menentu.

"Sesetengah negara kini mengalami gelombang jangkitan ketiga atau bahkan yang keempat. Jadi marilah terus memainkan peranan kita dengan menjaga keselamatan keluarga kita serta satu sama lain.

"Saya yakin dengan tekad, kebijaksanaan dan daya ketahanan kita yang kolektif, kita akan bangkit lebih kukuh daripada krisis ini," kata Puan Halimah.

Sumber : CNA/MU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan