Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah sertai majlis iftar bersama 400 jemaah Masjid Hajjah Fatimah

Presiden Halimah Yacob serta Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli sertai majlis iftar bersama 400 jemaah di Masjid Hajjah Fatimah hari ini (7 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob serta Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli sertai majlis iftar bersama 400 jemaah di Masjid Hajjah Fatimah hari ini (7 Mei).

Kedua pemimpin itu turut mengagihkan habuan kepada 30 penerima Muslim dan bukan Islam dari Kelab Masyarakat Kampong Glam.

Majlis pengagihan habuan itu turut disertai Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Esa Masood, Mufti Negara Dr Fatris Bakaram, Timbalan Mufti Ustaz Dr Nazirudin Nasir serta pemimpin agama, masyarakat dan akar umbi.

MASJID LAMBANG PENTING SUMBANGAN MASYARAKAT ISLAM

Bercakap bersama pihak media, Presiden Halimah berkata Masjid Hajjah Fatimah merupakan sebuah masjid yang signifikan bukan sahaja kerana ia diiktiraf sebagai monumen negara.

Namun sepanjang ditubuhkan ia sudah memainkan peranan penting menjadi tempat tumpuan bagi aktiviti-aktiviti sosio-agama di Singapura dan kawasan kampung Glam.

Presiden Halimah menambah, masjid yang dinamakan bersempena seorang wanita itu juga turut melambangkan sumbangan golongan wanita dalam sejarah Singapura yang banyak menabur bakti kepada pembangunan masyarakat.

“Masjid ini telah banyak memberikan banyak sumbangan kepada kehidupan socio-agama atau kehidupan agama dan sosial masyarakat Islam.

“Dan masjid menjadi lambang sumbangan masyarakat Islam kepada Singapura dan masyarakat Islam keseluruhannya,” tambah Presiden Halimah.

Di bina antara tahun 1845 dan 1846 dan merupakan antara rumah ibadah tertua di Singapura, masjid itu dinamakan sempena Hajjah Fatimah Sulaiman - peniaga dan dermawan muslimah terkemuka di Singapura.

Kunjungan Presiden Halimah itu juga lebih bermakna sedang negara ini mengenang 200 Tahun Singapura selepas kedatangan Raffles dan membincangkan sehingga 700 tahun kewujudan pulau strategik ini sejak kedatangan Sang Nila Utama.

"KITA MESTI TERUS-MENERUS MEMBERI TUMPUAN KEPADA KEBERSAMAAN"

(Gambar: MUIS)

Dalam ulasannya, Presiden Halimah turut melahirkan rasa sangat terdorong dengan kehadiran para pemimpin pelbagai agama dan kaum semasa acara berbuka puasa di Masjid Hajjah Fatimah itu.

Beliau menarik perhatian bahawa amalan berbuka puasa di negara ini merupakan satu peluang besar untuk menggalak semangat harmoni dan perpaduan antara agama berbeza-beza.

"Apa yang berlaku di serata dunia tidak begitu menggalakkan. Disebabkan politik identiti, masyarakat memencilkan diri kepada kaum sendiri, kepada agama sendiri.

"Bukan menggalak kebersamaan, sebaliknya mereka meraikan pemisahan dan itu bukan sesuatu yang kita inginkan di Singapura.

Kita mesti terus-menerus memberi tumpuan kepada kebersamaan dan meneroka wadah-wadah mencipta semangat kebersamaan, dan membina kepercayaan dan memperdalam lagu hubungan (antara kita)," seru Presiden Halimah lagi.

Presiden wanita pertama Singapura itu turut menekankan bahawa "di Singapura, apa yang kita lakukan adalah penting" kerana penduduknya sentiasa mengadakan ruang bagi semua agama dapat bersatu, mempereratkan perhubungan, menjalinkan persaudaraan antara kaum dan juga antara agama.

"Itu sesuatu yang amat menggalakkan," tekan beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan